Isu Sebenar di sebalik Kes 9 Mahasiswa Yayasan Terengganu

Mahasiswa dan Bersih 2.0

Walaupun Bersih 2.0 hingga kini mengatakan bahawa mereka adalah gerakan masyarakat sivil dan bukannya gerakan politik kepartian, majoriti melihat bahawa tetap ada campur  tangan politik kepartian di dalamnya. Hal ini, antara lain,  kerana pada setiap sesi promosinya tentu sahaja wujud kelibat   figura-figura dari parti politik pembangkang.

Selain itu, faktor konsep ‘kuasa ketiga’ atau ‘kuasa masyarakat sivil’ masih baru di kalangan rakyat dan upaya untuk memahaminya masih belum giat dilakukan, seterusnya membuatkan rakyat ramai mengambil kesimpulan ringkas bahawa Bersih 2.0 merupakan salah satu agenda pembangkang, atau sekurang-kurangnya suatu jalan atau helah lain pembangkang untuk memenangi perebutan kuasa seterusnya menduduki tampuk pemerintahan negara.

Kesimpulan dan tanggapan ini dikuatkan lagi dengan propaganda kerajaan melalui media arus perdana yang berat sebelah dengan mencanangkan bahawa Bersih 2.0 bukan sekadar agen pembangkang, malah ia juga telah dipengaruhi pemikiran komunis, merupakan agen pengganas dan kekacauan, pengkhianat negara dan sebagainya.

Labelan-labelan seperti ini terpalit kepada seluruh warga yang menyokong tuntutan Bersih 2.0 ini, tidak kira samada mereka ahli politik, sasterawan, ahli akademia, peguam, aktivis sosial, mahupun agamawan. Tidak terlepas, mahasiswa yang menyokongnya juga bukan sahaja terpaksa berdepan dengan labelan, malah ugutan dan hukuman!

Apa yang berlaku kepada 9 mahasiswa Yayasan Terengganu di Mesir adalah salah satu contoh terbaik. Pinjaman kewangan untuk membiayai kos pengajian dan sara hidup mereka di sana telah dibatalkan oleh pihak Yayasan atas sebab terlibat dengan perhimpunan solidariti Bersih 2.0 di Mesir.

Yayasan Terengganu Bertindak

Yayasan Terengganu telah mengambil tindakan membatalkan Pinjaman Pendidikan 9 mahasiswanya di Mesir atas alasan melanggar perjanjian yang telah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak sebelum itu. Pihak Yayasan mengambil tindakan sedemikian apabila mendapati bahawa mahasiswa-mahasiswa itu terlibat dengan Perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir, yang mana pada pihak Yayasan, satu aksi yang tidak bermoral dan telah bercanggah dengan tujuan asal mahasiswa iaitu belajar.

Penyertaan mahasiswa dalam Perhimpunan Bersih 2.0 pada pendapat pihak Yayasan telah menyalahi Fasal 2 Perjanjian Pinjaman Sultan Ismail Nasiruddin Shah seperti yang berikut1;

“Adalah dipersetujui bahawa PENUNTUT tidak boleh, pada bila-bila masa dalam masa berjalan kuatkuasanya perjanjian ini mengambil apa jua bahagian dalam sesuatu penghasutan atau tunjuk perasaan di mana-mana tempat oleh apa-apa pertubuhan badan atau kumpulan orang iaitu penghasutan atau tunjuk perasaan yan pada  pendapat LEMBAGA memudaratkan kepentingan Malaysia atau institusi pendidikan.”

Dalam membatalkan perjanjian pinjaman itu pula, pihak Yayasan telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan dalam Fasal 3(2), yang dibaca bersekali dengan Fasal 8 iaitu masing-masing;

“Lembaga boleh menurut budibicara mutlaknya menamatkan perjanjian ini jika penuntut melakukan pelanggaran terhadap terkandung dalam Fasa 1 dan 2 perjanjian ini”

Dan;

 “Lembaga berhak pada bila-bila masa dan tanpa memberi sebarang sebab-sebab dan tanpa menghiraukan kepada hak-haknya di bawah perjanjian ini menarik dan memberhentikan daripada memberi mana-mana wang selanjutnya bagi pinjaman itu”

Perjanjian Pinjaman Berdasarkan Undang-Undang Kontrak

Tindakan oleh Yayasan Terengganu ini menimbulkan pelbagai reaksi terutamanya daripada gerakan mahasiswa dan anak muda termasuklah KPT Mesir, PMRAM, SUARA, BKAN, ABIM, SAMM dan GEMPUR sendiri. Reaksi ini dibuat atas rasa tidak senang mereka terhadap tindakan Yayasan yang diyakini telah menzalimi mahasiswa.

Selain daripada melanggar hak kebebasan asasi, mahasiswa juga memprotes tindakan Yayasan ini atas dasar terma dan syarat dalam perjanjian pendidikan itu zalim dan berniat jahat. Contohnya pada Fasal 2 yang disebut di atas yang menghalang sebarang tunjuk perasaan atau hasutan dilakukan, tanpa perincian yang khusus. Fasal ini memberikan kuasa budibicara yang sangat luas sehingga boleh membuka jalan kepada penyalah gunaan kuasa.

Berdasarkan undang-undang kontrak, terdapat beberapa elemen utama untuk suatu perjanjian itu dikira sebagai kontrak. Elemen tersebut termasuklah tawaran, penerimaan, balasan dan kerelaan kedua-dua belah pihak. Jika elemen-elemen penting ini wujud dalam suatu perjanjian, maka secara umumnya perjanjian itu akan dikira sebagai kontrak dan secara automatiknya ditadbir oleh Undang-Undang Kontrak 1950. Seperti dalam perjanjian pinjaman pendidikan ini, kesemua elemen tersebut telah pun wujud.

Dan untuk suatu kontrak itu dapat dilaksanakan, ia perlu mematuhi dua syarat asas iaitu kedua-dua pihak bertindak dalam niat yang baik (bona fide) dan terma-terma dalam kontrak tersebut tidak menzalimi mana-mana pihak2. Juga menurut Furmston (1999) antara objektif utama undang-undang kontrak adalah untuk  melindungi pihak-pihak yang secara relatifnya lemah.

Setiap kontrak yang ditandatangani tentu sahaja mempunyai terma dan syarat yang harus dipatuhi oleh kedua-dua belah pihak. Terma dan syarat ini dirangka oleh pihak yang membuat tawaran iaitu pihak Yayasan Terengganu sendiri. Kontrak jenis ini mirip kepada ‘kontrak bentuk seragam’ yang mana dibenarkan oleh undang-undang dan menurut Slawson (1971), kontrak yang sangat popular di pasaran sekarang. Secara umumnya, ia didefinasikan sebagai;

Kontrak yang dirangka oleh satu pihak sahaja tanpa memberi ruang kepada pihak yang lagi satu untuk merundingkan terma-termanya serta ciri dan sifat kontrak ini yang tidak memerlukan kepada persetujuan dan perundingan di pihak pengguna di sebabkan pembentukannya yang didasarkan oleh konsep ‘terima atau tolak’ (take it or leave it basis).”3

Dalam erti kata lain, mahasiswa yang berada dalam tekanan ekonomi untuk membuat keputusan terpaksa menyetujui sebarang jenis terma dan syarat yang ditentukan bagi menyambung pengajian di luar negara walaupun terma tersebut tidak adil dan bersifat menindas. Selain itu, mereka juga terpaksa menandatangi perjanjian tersebut oleh kerana ia merupakan satu-satunya perkhidmatan atau kemudahan yang mampu dimiliki.

Hal ini menjadi perdebatan dalam dunia akademia tentang relevensi dan keadilan bentuk tersebut menurut undang-undang kontrak. Kritikan dibuat terhadap Undang-undang Kontrak 1950 sedia ada kerana tidak menyediakan suatu mekanisme yang mampan untuk mengawal  permasalahan ini. Para akademia menyifatkan terdapatnya kelompongan undang-undang (lacuna) dalam menyediakan peruntukan-peruntukan bagi mengelakkan pemaksaan terma tak adil ini dari berlaku. Seperti kata Visu Sinnadurai;

Akta kontrak tidak mengandungi apa-apa peruntukan yang memperkatakan khususnya tentang isi kandungan sesuatu kontrak. Tiada peruntukan yang dibuat tentang pengkelasan terma dan juga takat obligasi pihak-pihak  kepada kontrak. Akta ini juga membisu tentang sama ada pihak-pihak adalah secara tegasnya terikat oleh terma nyata kontrak atau samada terma tertentu boleh disiratkan.”

Dan seperti kata Nik Ramlah Madmood;

Akta 1950 hanya cuba mengkodifikasikan prinsip-prinsip asas undang-undang kontrak. Dengan yang demikian ia tidak mempunyai peruntukan khusus yang mengawal kandungan atau terma kontrak. Justeru, tiada peruntukan mengenai fasal yang membataskan biarpun mengecualikan liabiliti satu pihak, fasal yang memasukkan terma dalam dokumen lain ke dalam kontrak… mungkin inilah sebabnya kehakiman Malaysia telah mengesahkan fasal yang menampakkan ketidakadilan kepada pengguna.”

Apa yang dimaksudkan di sini adalah terdapatnya kelompongan yang jelas dalam undang-undang di negara kita (baca; Undang-undang Kontrak 1950) dalam memelihara dan mengelakkan pengguna perkhidmatan daripada terma yang tidak adil. Dalam isu pinjaman pendidikan ini, Fasal 2 ternyata tidak adil oleh kerana ia meletakkan kuasa budi bicara yang sangat besar untuk menentukan suatu perlakuan itu samada merupakan ‘tunjuk perasaan dan hasutan’ atau tidak. Selain itu, pada Fasal 8 perjanjian itu sendiri sudah meletakkan yang Yayasan mempunyai hak mutlak untuk memberhentikan pinjaman walaupun tanpa sebab.

Namun, walaupun terma yang ditetapkan itu didapati tidak adil, mahkamah tidak mempunyai kuasa (atau lebih tepat, tidak diberi kuasa oleh Parlimen) untuk memutuskan bahawa terma tersebut tidak sah dan tidak adil, apatah lagi membatalkan tindakan Yayasan Terengganu itu. Hal ini merupakan kesan daripada kelompongan dan kejumudan undang-undang kita seperti mana yang disebut di atas.

Hakikat Upaya Mahasiswa

Melihat kepada realiti perundangan ini, tindakan membawa kes ini ke mahkamah hanyalah tindakan yang merugikan dan sia-sia. Yang harus dilakukan adalah perubahan dan pembaik-pulihan sistem perundangan, terutama berkenaan undang-undang kontrak yang jauh ketinggalan dan zalim ini. Apa yang dipinda oleh Parlimen pada tahun 2010 iaitu Akta Perlindungan Pengguna4 hanyalah merangkumi skop yang sangat kecil dan masih memerlukan penambah-baikan.

Mahasiswa sebagai unit kecil dalam arus masyarakat sivil tidak mempunyai kuasa menggubal undang-undang. Realiti di Malaysia sekarang, kuasa tersebut hanya ada di tangan orang politik, dan proses meminta pendapat dari rakyat dan golongan  berkepentingan seperti sidang meja bulat hanyalah sekadar aktiviti pemenuh syarat semata-mata.

Oleh itu, penulisan makalah, pentas-pentas forum, ceramah, dan jalan raya menjadi pilihan mahasiswa untuk menyedarkan dan mendapatkan sokongan rakyat dalam melakukan perubahan dan mengatakan tidak kepada penindasan. Mahasiswa walaupun sedar ada pelbagai sekatan dari setiap sudut dan ruang, tetap percaya bahawa mereka bukan golongan naïf dan pengampu yang masih sanggup bermanis muka jika berhadapan dengan golongan penzalim!

Oleh Nur Mohd Iqzuan Bin Samsudin

Rujukan

  1. Surat Tunjuk Sebab daripada Yayasan Terengganu bertarikh 28 julai 2011
  2. Understanding Contract Law, John N Adams and Roger Brownsword, ms 123
  3. Jurnal Pengurusan 32 (2011),Undang-Undang Kontrak Malaysia: Keterbasan Pemakaian Dalam Kontrak Pengguna, Suzanna Mohamed Isa, Azimon Abdul Aziz, Sakina Shaik Ahmad Yusoff, ms 42
  4. http://www.bharian.com.my/articles/DewanRakyat_Penggunadilindungitermakontraktidakadil/Article/
By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Artikel

Leave a comment