Penyenaraian FGVH: Kapitalis Global Mengintai Peluang

Pengumuman penyenaraian tawaran awam permulaan (Initial Public Offering – IPO) Felda Global Ventures Holdings (FGVH) oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada 7 Oktober 2011 dalam Belanjawan 2012 yang lalu adalah pemula kepada isu ini sehinggalah tercetusnya pelbagai reaksi positif dan negatif dari pelbagai pihak samada Koperasi Peneroka Felda (KPF), pengurusan tertinggi FELDA, pembangkang politik, figura-figura profesional dalam industri pelaburan, para mahasiswa mahupun peneroka FELDA itu sendiri. Terbaru, Himpunan Oren Selamatkan FELDA yang akan diadakan pada 14 Julai ini mengundang respon penuh dari pelbagai pihak dan secara tidak langsung memanaskan semula isu penyenaraian FGVH di Bursa Saham Malaysia. Belanjawan 2012 yang dibentangkan itu menyatakan bahawa peneroka FELDA akan menerima “durian runtuh” yang jumlahnya akan diumumkan sebelum FGVH disenaraikan di Bursa Saham Malaysia iaitu sebelum pertengahan 2012. Menurut Perdana Menteri, penyenaraian ini dilakukan dalam usaha untuk penjanaan dana bagi menjadikan FELDA sebuah syarikat konglomerat global.

Walaupun mendapat tentangan dan kritikan daripada pelbagai pihak terutamanya daripada pengurusan tertinggi FGVH itu sendiri, Dato Sabri Ahmad selaku Presiden FGVH dan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi FELDA tetap meneruskan penyenaraian tersebut di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd pada 28 Jun 2012 yang lepas. Ini menjadikan penyenaraian ini adalah yang terbesar di Asia pada tahun ini dengan IPO tersebut adalah yang kedua terbesar selepas saham Facebook Inc disenaraikan di Pasaran Saham Nasdaq (Nasdaq Stock Market) pada 18 Mei lalu. Keputusan ini dibuat secara bersama dengan Koperasi Peneroka Felda (KPF) melalui Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 23 April 2012 yang lalu dengan 51% saham FGVH sedia diapungkan ke pasaran terbuka, manakala 49% saham masih berada di dalam pemilikan Kumpulan FELDA. Sungguhpun demikian, pada awalnya terdapat lapan orang ahli KPF yang bangun menyatakan bantahan kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) atas penyenaraian ini dan bertindak membuat injuksi di Mahkamah Tinggi Kuantan atas hujahan bahawa pengurusan tertinggi KPF yang menyatakan persetujuan untuk penyenaraian ini akan secara langsung melupuskan ekuiti milik KPF di dalam FELDA Holdings Bhd yang bernilai hampir RM3.13 billion ke FGVH dan ini secara jelas tidak menguntungkan ahli-ahli KPF dan para pemegang saham.

Setelah penyenaraian, dengan mengandaikan harga runcit RM4.55, tawaran itu dijangka akan mengumpulkan kira-kira RM10.5 bilion bagi penjanaan dana FELDA. Sebanyak 255 371 000 unit saham terbitan penawaran runcit diapungkan dan 182 408 000 unit (71.43%) saham diperuntukkan untuk peneroka dan kakitangan FELDA, manakala bakinya sebanyak 72 963 000 unit (28.57%) saham diagihkan untuk pelabur awam. Daripada jumlah itu, peneroka FELDA di Malaysia yang seramai 112, 635 orang ditawarkan 800 unit saham seorang. KPF pula ditawarkan menjadi pemegang saham sebanyak 37% dengan 360, 067 hektar tanah Felda Plantations Sdn Bhd (FPSB) dipajakkan (disewa) kepada FGVH dan KPF akan menerima wang pajakan secara berkala daripada FGVH ekoran penyenaraian tersebut. Dalam isu ini juga, sebuah syarikat yang berasaskan perniagaan pertanian, Louis Dreyfus ditawarkan oleh FGVH bagi memegang saham FGVH sebanyak 4.9% kepentingan dalam IPO. Namun begitu, Louis Dreyfus menolak tawaran tersebut dan mensasarkan hanya 0.5% saham sahaja tetapi bersetuju menandatangani satu memorandum persefahaman bagi syarikatnya menjadi pelabur serta rakan kongsi strategik dalam penyenaraian FGVH ini.

Tawaran awam permulaan (IPO) FGV telah menarik sebanyak 58,526 permohonan awam bagi mendapatkan 565 400 000 saham, iaitu terlebih langganan 6.75 kali. Sebanyak 21,829 permohonan diterima dibawah bahagian yang dikhaskan untuk bumiputera manakala 36,706 permohonan di bawah bahagian awam . Pada hari pertama penyenaraiannya, saham FGVH yang ditawarkan pada harga RM4.55 itu mencapai premium sehingga RM0.75 menjadikan nilai dagangannya berada pada paras kukuh dengan harga RM5.30 sesaham. Dengan penutupan dagangan FGVH pada nilai tersebut, sebanyak 2,615,000 lot bertukar tangan dan ia adalah di luar jangkaan memandangkan suasana ekonomi global yang tidak menentu belakangan ini.

Image
Saham FGV yang disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Malaysia pada hari pertama diniagakan (28 Jun 2012)

Apabila saham sesebuah syarikat disenaraikan di Bursa Saham Malaysia, ia mendedahkannya kepada pasaran terbuka dan global. Ini menjadikan FGVH berpotensi muncul sebagai sebuah syarikat konglomerat yang menyamai taraf syarikat-syarikat multinasional (MNC). Penyenaraian FGVH ini juga berpotensi meningkatkan daya saing ahli pengurusan tertingginya dalam merangsang hala tuju syarikat secara jelas dan mencari pasaran-pasaran baru yang lebih besar di luar negara.( Roslie Zakaria, Milenia Muslim, Jun 2012). Menurut Perdana Menteri Malaysia, ia juga akan membawa keuntungan kepada rakyat Malaysia secara umumnya, kerana agensi-agensi kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pemodalan Nasional Bhd (PNB), Lembaga Tabung Haji serta Lembaga Tabung Angkatan Tentera juga akan turut memiliki saham FGVH. Dana yang dikumpulkan atas dagangan saham ini pula dijangka akan dapat membantu industri hiliran dan pemprosesan untuk dibangunkan oleh FGVH dan secara tidak langsung memperkembangkan aktiviti komersial yang lain (Roslie Zakaria, Milenia Muslim, Jun 2012). Para peneroka FELDA pula mungkin akan mendapat keuntungan melebihi dividen yang pernah mereka terima sebelum ini (di antara 10% – 15%) daripada hasil dagangan saham-saham mereka di dalam KPF yang diniagakan di Bursa Saham Malaysia dan diapungkan sepenuhnya ke pasaran terbuka.

Melihat analisis kepada semua pembentangan data-data di atas, ada beberapa persoalan yang perlu dibangkitkan dan dilihat dengan lebih teliti oleh Pengerusi FELDA dan Presiden FGVH sebelum membuat keputusan menyenaraikannya di Bursa Saham Malaysia.

Sejarah syarikat-syarikat gergasi yang lalu seperti Sime Darby menunjukkan bahawa kesan penyenaraian saham ke pasaran terbuka akan mendedahkan pemilikan syarikat kepda pelabur awam khususnya pelabur global yang mempunyai dana kewangan yang kukuh sekaligus peralihan pemilikan syarikat akan berlaku. Meneliti sejarah peralihan pemilikan Sime Darby & Co. yang ditubuhkan pada Oktober 1910 oleh William Sime dan Henry Darby menjadikan syarikat ini sebuah syarikat British yang akhirnya menjadi milik rakyat Malaysia. Pada akhir 1970-an, kurang daripada separuh ekuiti Sime Darby Holdings telah diambil alih oleh pelabur-pelabur Malaysia melalui Tradewinds (Malaysia) Sdn Bhd. Justeru, pada Disember 1979, Sime Darby memindahkan ibu pejabatnya ke Kuala Lumpur dan secara langsung didaftarkan dan diuruskan oleh kumpulan profesional rakyat Malaysia. Kumpulan Sime Darby sepenuhnya menjadi pemilikan Kerajaan Malaysia pada tahun 1981 apabila Tun Mahathir Mohamad (Perdana Menteri Malaysia pada masa itu) membuat “serbuan” untuk pengambilalihan Kumpulan Sime Darby di London Stock Exchange melalui Permodalan Nasional Bhd dan menjadikan ekuiti rakyat Malaysia di Sime Darby 54% daripada jumlah keseluruhan. Ini hanya contoh terdekat sejarah peralihan pemilikan ekoran daripada penyenaraian saham syarikat ke pasaran terbuka dalam industri perusahaan perladangan dan komoditi. Penyenaraian FGVH ke pasaran terbuka tidak terlepas daripada risiko ini. Tambahan pula, Menteri Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok juga mengesahkan bahawa beliau sendiri tidak terkejut jika China mengambil alih kepentingan Sime Darby kerana setiap orang bebas membeli dan menjual saham di pasaran terbuka. Tambahnya lagi, beliau sedar jika China ingin membeli kepentingan saham dalam syarikat-syarikat perusahaan perladangan Malaysia samada Sime Darby, FELDA atau lainnya dan seterusnya pemilikan ekuiti akan beralih milik. Walaupun pemilikan saham awam telah dirangka baik oleh kumpulan profesional yang menguruskannya, ia tidak akan memberikan satu jaminan yang pasti pada masa hadapan dengan mengambil kira sejarah banyak syarikat telah membuktikannya. Juga dalam situasi di mana syarikat menghadapi krisis kewangan yang teruk atau hampir bankrap (bailout), ia mendedahkan 360,067 hektar tanah FELDA Plantations Sdn Bhd (FPSB) digadaikan dan status pemilikannya bertukar tangan.

Persoalan lain yang perlu diteliti adalah impak penyenaraian ini kepada peneroka FELDA. Sebelum penyenaraian, peneroka menikmati dividen sehingga 10% – 15% setiap tahun daripada hasil saham mereka di dalam KPF. Namun begitu, selepas penyenaraian ini, keuntungan yang akan dirasai oleh peneroka tidak dapat diberikan jaminan yang pasti. Tidak dinafikan, hasil dagangan saham FGVH pada hari pertama penyenaraiannya memberikan premium sehingga RM0.75 sesaham dan seterusnya memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada pemegang saham khususnya peneroka FELDA. Namun harus diingat, pasaran saham terbuka tidak berterusan akan mengekalkan potensi harga saham FGVH pada paras kukuh dan risikonya tetap wujud dan sangat besar. Justeru, boleh disimpulkan bahawa pulangan keuntungan yang bakal dikecapi oleh peneroka FELDA dengan kadar maksimum saham 800 unit adalah tidak pasti berbanding dividen yang pernah diterima sebelum penyenaraian. Selain itu, “durian runtuh” yang diumumkan oleh Perdana Menteri sebanyak RM15 000 dengan melalui 3 fasa penyerahan adalah tidak berbaloi dengan risiko yang perlu diambil oleh peneroka bagi menyatakan persetujuan dalam isu penyenaraian ini dengan keuntungan saham yang belum pasti.

ImageRisiko yang perlu dihadapi oleh FGVH di pasaran saham terbuka adalah besar

Tanah seluas 360, 067 hektar milik Felda Plantation Sdn Bhd (FPSB) dipajakkan (disewakan) kepada FGVH dan sewanya akan dibayar oleh FGVH kepada KPF secara berkala akan merugikan Kumpulan FELDA. Dengan keuntungan yang berlipat ganda yang mungkin bakal diterima oleh FGVH daripada penyenaraian ini, KPF hanya menerima wang sewaan tetap daripada FGVH dan secara tidak langsung merugikan KPF dalam jangka masa panjang. Situasi ini memperlihatkan seolah-olah FGVH menggunakan KPF sebagai batu loncatan untuknya terus berdiri kukuh dalam industri perusahaan perladangan dan komoditi.

Image

Selain itu, hasil kajian Boston Consulting Group, iaitu juru runding yang dilantik secara rasmi dalam proses penyenaraian saham FGVH ini ke atas 30 orang pengurusan tertinggi FELDA pada Oktober 2011 yang lalu menyatakan secara keseluruhannya bahawa kebanyakan daripada mereka tidak bersedia untuk proses penyenaraian saham FGVH ini. Seramai 55% dari pengurusan tertinggi FELDA tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian ini, 20% daripada mereka menyokong penuh penyenaraian ini dan 5% lagi percaya bahawa proses penyenaraian ini akan gagal kerana FELDA belum bersedia. Pengerusi Persatuan Kebudayaan & Kesenian Generasi FELDA Malaysia, Siti Hajar Ismail pula menyarankan supaya penyenaraian FGVH ini tidak diteruskan secara tergesa-gesa kerana ia akan lebih memburukkan keadaan (Ruwaida Md Zain, Sinar Harian, Jan 2012). Justeru, penulis ingin menimbulkan persoalan baru iaitu bagaimana peneroka FELDA boleh menyatakan persetujuan mereka dalam isu penyenaraian ini dengan kekangan ilmu pelaburan dan saham serta penerangan minimum oleh FELDA yang diberikan, sedangkan ahli pengurusan tertinggi FELDA yang lebih arif serta pakar dalam selok belok proses penyenaraian ini rata-ratanya tidak bersedia?

Image

Kesimpulan yang jelas kita perhatikan di sini, penyenaraian saham FGVH ke Bursa Saham Malaysia ini mengundang pelbagai respon yang tidak berkesudahan dan menimbulkan isu-isu baru untuk difikirkan dan dianalisa. Daripada isu pemilikan tanah FELDA Plantation Sdn Bhd sehinggalah kepada manfaat yang bakal diterima oleh peneroka khususnya masih berada dalam keadaan samar atau tidak jelas ekoran penerangan yang terperinci tidak diberikan oleh pihak FGVH kepada para peneroka. Kapitalis-kapitalis global hanya menanti masa yang sesuai untuk melambakkan dana mereka ke Bursa Saham Malaysia lalu peneroka FELDA akan berputih mata melihat tanah dan ladang Malaysia yang kaya hasilnya bertukar tangan. Bagi pendapat penulis, samada saham FGV disenaraikan atau tidak, ia perlulah bebas daripada elemen-elemen tidak patuh Shariah seperti gharar, riba, khianat, penipuan, malah spekulasi oleh pihak-pihak tertentu yang secara langsung mendedahkan peneroka (iaitu golongan rakyat) kepada keadaan ekonomi yang tidak menentu dalam pasaran global.

Oleh: Nurul Nadia Abdul Rashid

 

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Artikel

Leave a comment