KONGRES TERTUTUP KALI KE 2 GERAKAN MAHASISWA PANTAI TIMUR (GEMPUR)

Image

 

Tarikh : 21 Disember 2013 (Sabtu)

Tempat : Dewan Homestay Banggol, Mengabang Telipot, Kuala Terengganu,Terengganu Darul Iman

Masa : 9.00 pagi – 10.30 malam

Bil Peserta : 20 orang

TUJUAN

Walaupun Pilihanraya Umum ke 13 sudah lama berlalu, namun bahang dan baranya masih suam-suam. Pilihanraya Umum ke 13 memperlihatkan kuasa dan tindakan anak-anak muda dalam mengidami sebuah negara yang adil, demokrasi dan lebih baik daripada sebelumnya. Gerakan mahasiswa di seluruh negara juga tidak ketinggalan dalam keterlibatan pilihanraya umum pada kali ini. Ia mungkin boleh dikatakan sebagai suatu perkembangan yang sihat, memandangkan sebelum ini seringkali mahasiswa dianggap layu dan tidak mengendahkan isu-isu negara. Namun begitu, GEMPUR mendapati, gerakan mahasiswa makin hilang arah dan hampir tidak berpijak atas prinsip dan dasar sendiri. PRU 13 adalah salah satu contoh terbaik dalam memperlihatkan kekeliruan dan kecelaruan hala tuju gerakan mahasiswa termasuklah GEMPUR sendiri.

Justeru, bertitik tolak dari itu, selepas setahun lebih penubuhan GEMPUR, Kongres GEMPUR pada kali ke 2 ini amat perlu dianjurkan bagi menyemak kembali keberadaan dan hala tuju GEMPUR untuk menggerakkan mahasiswa-mahasiswa seluruh Pantai Timur ke arah membudayakan ilmu sebagai teras kehidupan insan selari dengan visi dan misi GEMPUR itu sendiri. Kongres kali ke 2 ini juga memperlihatkan pembentangan-pembentangan kertas kerja bagi memantapkan pemahaman kepada ahli-ahli dan mencari semula satu titik penyelarasan dalam memartabatkan hala tuju gerakan mahasiswa ke arah yang lebih baik.

Kongres sehari ini telah mengumpulkan mahasiswa dan mahasiswi yang berbeza latar belakang fahaman, bangsa, agama dan kampus lalu memberikan satu medium kepada mereka berbincang dan berdiskusi tentang hala tuju gerakan mahasiswa di peringkat Pantai Timur dan menyusun kembali pelbagai agenda yang perlu dibawa bagi menyokong matlamat GEMPUR yang ingin melihat golongan intelektual dan mahasiswa dimartabatkan semula oleh masyarakat, sekaligus menjadikan budaya ilmu satu budaya yang tidak asing.

Kongres ini juga telah menjemput beberapa wakil gerakan mahasiswa yang lain, pakar akademik dan juga aktivis rakyat untuk menjadi pemerhati, memberi pandangan, pendapat dan kritikan.

OBJEKTIF

  1. Menyemak kembali peranan, hala tuju dan matlamat GEMPUR dan mencapai satu resolusi yang terbaik
  2. Mengumpul idea dan kreativiti daripada kalangan mahasiswa Pantai Timur bagi merencanakan program-program bagi maksud mencapai visi GEMPUR.
  3. Memantapkan kefahaman dan keselarasan melalui tindakan dalam memupuk teras dan visi GEMPUR itu sendiri kepada ahli.
By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti

Leave a comment