Kertas Kerja Sejarah Gerakan Mahasiswa Pantai Timur, Suatu Tinjauan Ringkas

PENGENALAN

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera..

Kertas kerja Gerakan Mahasiswa Pantai Timur dibawah tajuk Sejarah Gerakan Mahasiswa Pantai Timur : Suatu tinjuan ringkas adalah berkisarkan beberapa perkara yang patut kita ambil perhatian. Saya telah bahagikan kepada beberapa bahagian untuk kita teliti bersama.

  • Sejarah penubuhan Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR)
  • Teras gerakan dan gerak kerja GEMPUR sepanjang tempoh penubuhannya.
  • Persepsi Mahasiswa (UniSZA) terhadap GEMPUR

Tujuan utama kertas kerja ini adalah untuk membuat semakan kembali gerak kerja GEMPUR sepanjang tempoh penubuhannya sejak tahun 2012. Matlamat dan teras serta konflik dalaman yang berlaku di dalam GEMPUR turut diambil perhatian untuk sama-sama kita telaah dan teliti bersama demi kelangsungan gerakan ini pada masa hadapan.

Saya telah menggunakan beberapa kaedah untuk jadikan kertas kerja ini bukan sekadar dibuat atas angin semata-mata namun dibuat agar sama-sama kita kenang dan mengambil iktibar bersama. Antara kaedah yang saya gunakan adalah sesi soal jawab bersama para intelektual di UniSZA dan UMT. Umumnya, kaedah ini lebih menumpukan pandangan mereka sepanjang gerak kerja GEMPUR sepanjang penubuhannya.

Kaedah yang kedua adalah bancian. Bancian ini dibuat untuk melihat perspektif mahasiswa terhadap penubuhan GEMPUR sebagai sebuah gerakan mahasiswa. Lampiran A adalah contoh soalan bancian yang dibuat dengan meletakkan 300 responden sebagai sasaran penilaian. Tambahan pula, kaedah bancian juga dapat meletakkan kedudukan GEMPUR di dalam ruang lingkup pemikiran mereka samada dari sudut positif mahupun negatif.

Saya turut mengambil pendirian untuk tidak meletakkan kertas kerja ini sebagai sebuah kajian muktamad, ia cuba untuk membuka ruang perbincangan jika masih terdapat kekurangan atau perlukan penambahbaikkan. Semoga sahabat sekalian berfikiran terbuka untuk kritikan membina kertas kerja ini demi kebaikan bersama.

SEJARAH PENUBUHAN GERAKAN MAHASISWA PANTAI TIMUR (GEMPUR)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera…

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur atau singkatannya GEMPUR adalah sebuah gerakan mahasiswa yang bertapak di pantai timur sejak tahun 2012. Ia ditubuhkan hasil inisiatif beberapa orang mahasiswa daripada pelbagai latar belakang yang sedar dan cakna tentang suasa yang berlaku di kalangan mahasiswa hari ini.

Cetusan idea untuk menubuhkan GEMPUR bermula melalui proksi-proksi yang bertapak di beberapa universiti di pantai timur antaranya Pengkritik MPP UniSZA (PMU) dan Pro Mahasiswa Kelantan (Pro M). Namun begitu, ia juga didokong oleh segelintir mahasiswa daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT), UM Nilam Puri dan beberapa kolej di Kelantan. Di awal penubuhan GEMPUR, perbincangan demi perbincangan dibuat untuk membina teras gerakan agar ia bersesuaian dengan lokaliti pantai timur. Hasil daripada perbincangan yang dibuat, kongres pertama GEMPUR telah berlangsung di dewan Angkatan Belia Malaysia Kelantan.

Kongres ini bertujuan untuk mencari pandangan alam dan berkongsi idea tentang beberapa rukun gerakan yang diusulkan iaitu intelektualisme, aktivisme dan idealisme sebelum membina teras gerakan. Selain itu, ia juga untuk membincangkan pelbagai isu berbangkit samada penubuhan gerakan mahasiswa ini bersesuaian dengan lokaliti pantai timur sekaligus bertepatan dengan aspirasi mahasiswa secara amnya. Seramai hampir 40 orang mahasiswa telah hadir untuk sama-sama bersolidariti dengan penubuhan GEMPUR. Mereka terdiri daripada mahasiswa-mahasiswa UniSZA,UMK,UM Nilam Puri dan Kolej-Kolej sekitar Kelantan. Wakil-wakil daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) turut hadir untuk memberi pandangan dan pendirian berbeza berkenaan gerakan ini.

Kongres turut membincangkan organisasi yang bakal diteraju untuk membawa agenda GEMPUR. Ia menggunakan konsep ahli dewan sebagai peneraju utama serta dipecahkan kepada penstrukturan biasa iaitu presiden, timbalan presiden, setiausaha dan sebagainya. Ahli dewan pula dibahagikan mengikut zon iaitu zon Terengganu, Kelantan serta Pahang. Namun begitu, mahasiswa daripada Pahang masih tidak dapat berhubung untuk penubuhan GEMPUR atas beberapa permasalahan.

Kongres juga telah bersetuju untuk melantik Syahmi Hazim sebagai presiden GEMPUR yang pertama. Salah suatu faktor dominan ialah, tempoh pengajiannya sebagai mahasiswa masih berbaki 2 tahun pada waktu itu. Tambahan pula, beliau juga telah bergerak sebagai aktivis mahasiswa di awal kemasukan pengajian diploma. Oleh itu, beliau secara rasminya dilantik sebagai presiden pertama Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) melalui undian sebulat suara.

Selepas tamatnya kongres, semua ahli GEMPUR telah beriltizam untuk sama-sama berganding bahu untuk menggerakkan gerakan ini. Dipandu dengan teras serta rukun gerakan sebagai pasak utama tertubuhnya GEMPUR, mereka bersedia untuk menerima apa jua cabaran mendatang melihat kepada gerakan ini yang masih belum menginjak usia matang. Kami berharap dengan penubuhan GEMPUR, ia dapat membuka suatu wadah untuk menyedarkan mahasiswa tentang tanggungjawabnya kepada agama, rakyat dan Negara.

RUKUN DAN TERAS GERAKAN MAHASISWA PANTAI TIMUR (GEMPUR)

RUKUN GEMPUR

Intelektualisme – Penghayatan budaya ilmu yang berasaskan tiga prinsip utama iaitu

  1. Meletakkan ilmu dan ilmuwan di tempat tertinggi sebagai rujukan
  2. Individu mahupun mahasiswa sentiasa menuntut, menyebar dan mengembangkan ilmu
  3. Setiap keputusan yang dibuat perlulah berlandaskan ilmu

Idealisme – Pegangan atau prinsip fundamental yang berasaskan 2 perkara iaitu kecintaan dan kebencian. Ia adalah kecintaan terhadap nilai muluk, mulia dan murni. Ini termasuklah kecintaan terhadap kebenaran, keadilan dan keharmonian. Kedua adalah kebencian terhadap kepalsuan, kezaliman dan kehuru-haraan. Konsep ini diambil daripada Amar Makruf Nahi Mungkar.

Aktivisme – Proses merealisasikan idealisme. Ini termasuklah kebijaksanaan menterjemah idealisme agar menjadikan langkah serta tindakan sesuatu yang praktikal. Di sini lahirnya hal ehwal perjuangan seperti kesukarelaan dan pengorbanan. Ia ditandai seperti yang termaktub di dalam islam, iaitu berlumba-lumba ke arah berbuat kebajikan.

TERAS GEMPUR

a) Kedaulatan Undang-Undang

Konsep ini tidak harus difahami secara literal kerana undang-undang perlu dibina atas dasar nilai. Penganalisis sering membezakan antara kedaulatan undang-undang (rule of law) dan kawalan undang-undang (rule by law). Kedaulatan undang-undang mengungkapkan undang-undang yang adil dan saksama atau secara ringkasnya,ia bertepatan dengan konsep ‘kemanusian’. Sedangkan kawalan undang-undang adalah undang-undang atau status yang diluluskan oleh parlimen tetapi zalim dan tidak adil. Menurut A.V Dicey, Kedaulatan undang-undang menuntut :

  • Bahawa semua tindakan pihak berkuasa awam perlu disokong oleh undang-undang dan semua pengawai adalah bertanggunjawab kepada mahkamah atas tindakan-tindakan yang menyalahi undang-undang.
  • Bahawa tidak boleh wujud budi bicara yang terlalu luas pada tangan pengawai-pengawai awam.
  • Bahawa semua warganegara berhak mendapat perbicaraan yang adil di mahkamah yang bebas daripada sebarang pengaruh.
  • Bahawa semua warganegara berhak mendapat layanan yang sama di sisi undang-undang

b) Demokrasi

Graham Smith berpendapat bahawa pada masa kini, suatu inovasi demokrasi harus dilakukan. Ia melibatkan lima teori demokrasi kontemporari tentang peningkatan partisipasi iaitu :

  • Demokrasi  berpartisipasi yang menekankan nilai partisipasi itu sendiri iaitu ia bersifat mendidik dan membina rakyat, Berpartisipasi adalah dengan sendirinya merupakan suatu manfaat. Ia meningkatkan kefahaman rakyat tentang minat, kecenderungan, kemahiran, kualiti dan tanggungjawab terhadap politik.
  • Demokrasi deliberatif yang memberi tumpuan khusus terhadap proses bagaimana suatu sesuatu keputusan dibuat. Ia menekankan tentang keperluan supaya keputusan hendaklah dibuat melalui proses perbincangan sesama rakyat yang menikmati kebebasan dan kesaksamaan.
  • Demokrasi secara langsung yang menekankan saat keputusan dibuat . Legitimasi politik bergantung pada idea bahawa setiap rakyat mempunyai input yang saksama dan efektif dalam membuat keputusan secara kolektif.
  • Demokrasi kelainan yang merujuk soal bagaimana kumpulan-kumpulan sosial tertentu yang kurang mampu atau ditekan telah dipinggirkan daripada proses politik. Dalam konteks ini, legitemasi politik bergantung kepada sejauh mana suara dan perspektif yang khusus daripada pelbagai kumpulan sosial itu diiktiraf dan diwakili dalam proses membuat keputusan politik.
  • Demokrasi cosmopolitan yang mempersoalkan kedudukan legitemasi keputusan dibuat oleh kuasa-kuasa politik transnasional sedangkan keputusan dibuat tanpa melibatkan partisipasi aktif penduduk tempatan yang terkesan oleh keputusan tersebut.

c) Hak Asasi Manusia

Hak asasi manusia boleh didefinisikan sebagai kumpulan hak-hak yang dianggap asas dan penting yang tidak boleh dinafikan, ia dianggap sebagai sesuatu yang mendasar. Tanpa hak-hak ini manusia mungkin tidak dapat mengembangkan potensi kemanusiannya. Hak-hak asasi merangkumi segenap aspek baik jasmani mahupun rohani. Perlu ditegaskan bahawa oleh kerana hak-hak ini dianggap sebagai wujud atau timbul bersama-sama dengan kewujudan manusia, adalah sesuatu yang dianugerahkan oleh penciptanya. Dengan kata lain hak-hak tersebut bukanlah ihsan pemerintah atau penguasa awam. Hakikat ini perlu ditegaskan kerana nantinya ia dapat membantu kita menilai samada sekatan-sekatan atau penafian-penafian yang dikenakan terhadap hak-hak asasi itu wajat atau sebaliknya.

Hak-hak asas seorang warganegara ada disebutkan di bahagian kebebasan asasi (Fundamental Liberties). Perlembagaan Persekutuan. Ia selari dengan hak-hak asasi manusia dalam Universal Declaration Of Human Rights yang mengandungi 30 perkara dan dalam pengisytiharan Hak Asasi Manusia dari Perspektif Islam oleh Majlis Ulama’ Sedunia yang mengandungi 23 perkara.

d) Non-Partisan

‘Kami mempertahankan hak mahasiswa untuk mengetengahkan pendapat tentang isu-isu luar kampus. Kami tidak akan teragak-agak untuk mengutuk apa yang salah, dan memuji apa yang layak dipuji’ Senathi Rajah, Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) 67/68, Oktober 1967.

e)  Individu Merdeka dan Bertanggungjawab

f)   Berani membudayakan aktivisme yang kreatif

GERAK KERJA GERAKAN MAHASISWA PANTAI TIMUR (GEMPUR)

Selepas Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) secara rasminya ditubuhkan pada bulan Februari 2012, beberapa gerak kerja telah dirangka untuk jadikan agenda GEMPUR realisme dengan suasa mahasiswa antaranya :

DEMONSTRASI

Anti-Lynas

Pada hari tertubuhnya GEMPUR, beberapa ahli gerakan ini telah bertolak ke kuantan untuk turut sama bersolidariti dengan rakyat Malaysia yang sedar menolak pembinaan loji nuclear yang dikenali sebagai lynas. Ia adalah gerak kerja pertama GEMPUR bersama-sama dengan gerakan mahasiswa yang lain antaranya SMM, LMP dan AKSI.

BERSIH 3.0

GEMPUR juga menyertai perhimpunan tuntutan Pilihanraya Bersih dan Adil 3.0 (BERSIH) di Kuala Lumpur. Gerakan mengambil pendirian untuk menyatakan perhimpunan ini sebagai tanggungjawab mahasiswa untuk rakyat agar penipuan yang didedahkan sepanjang Piliharanraya Umum (PRU) disemak kembali terutamanya berkenaan keboborakkan sistem daftar pengundi yang berlarutan sehingga banyak pengundi hantu yang didedahkan. Perhimpunan ini juga adalah untuk menguatkan momentum menuntut pendidikan percuma dengan berkhemah selama 14 hari sebelum perhimpunan BERSIH 4.0.

Yayasan Terengganu

Rentetan daripada perhimpunan BERSIH 3.0, mahasiswa daripada Timur Tengah seramai 9 orang telah ditarik balik pinjaman mereka oleh Yayasan Terengganu. Atas nama mahasiswa, GEMPUR telah menganjurkan solidariti bersama-sama dengan rakyat Terengganu untuk mendesak agar penarikan balik pinjaman itu dibatalkan. Sebelum demonstrasi penyerahan memorandum, GEMPUR telah menghantar petisyen agar Yayasan Terengganu memberi penjelasan berkenaan penarikan balik pinjaman itu, namun mereka tetap berdiam diri sebelum GEMPUR mengambil keputusan untuk menganjurkan demonstrasi.

Stadium Runtuh

Wakil daripada GEMPUR, Syahmi Hazim memberi ucaptama ketika perhimpunan stadium runtuh anjuran ROYALTI Terengganu dalam memberi kesedaran kepada rakyat tentang pembaziran duit hampir RM 500 juta ringgit. Oleh kerana tiada penambahbaikkan selepas keruntuhan itu, stadium Gong Badak kekal sebagai ‘monumen’ untuk Negeri Terengganu.

FORUM

Pilihanraya Umum unjuran kemenangan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat

Pilihanraya Umum ke-13 (PRU-13) merupakan titik tolak demi masa depan dan rakyat. Sehubungan dengan itu, GEMPUR telah menganjurkan forum berkenaan PRU-13 dari perspektif mahasiswa. Ahli panel yang dijemput terdiri daripada golongan profesional daripada UniSZA.

DIALOG

Dialog pemilihan pemimpin

GEMPUR mengambil tindakan yang berani apabila menganjurkan suatu dialog berkenaan pemilihan pemimpin di dalam kampus UniSZA yang berlangsung pada sesi petang dan malam. Pada sesi petang, kuliah ringkas berkenaan pemilihan pemimpin disampaikan oleh salah seorang pensyarah UniSZA manakala di sesi malam pula, dialog mahasiswa berkenaan pemimpin yang bertempat di Speaker Corner UniSZA.

PERSEPSI MAHASISWA UNISZA TERHADAP GEMPUR

Lampiran A

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) sedang membuat bancian berkenaan organisasi ini sempena ulang tahun yang kedua setelah gerakan ini ditubuhkan. Kerjasama anda amat kami hargai.

Sila tandakan ( / ) daripada salah satu pilihan jawapan di bawah.

a)      Adakah anda mengenali Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR)?

i)                    Ya

ii)                  Tidak

b)      Jika anda mengenali gerakan ini, dari manakah anda mengenali gerakan ini?

i)                   Media massa (Televisyen,surat khabar dan sebagainya)

ii)                  Media sosial (Facebook,twitter dan sebagainya)

iii)                Lain-lain (Sila nyatakan)  _______________________

c)      Adakah anda tahu agenda gerakan ini?

i)                    Ya

ii)                  Tidak

d)     Sejauh pengetahuan saudara/i, adakah gerakan ini adalah sebuah gerakan mahasiswa?

i)                    Ya

ii)                  Tidak

e)      Sebagai seorang mahasiswa, seandainya Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) adalah sebuah gerakan mahasiswa yang radikal, adakah ia perlu untuk situasi semasa mahasiswa?

i)                    Ya

ii)                  Tidak

Ya

Tidak

Rosak

Soalan 1

247

46

0

Soalan 2

49 (i)

                    196 (ii)

48 (iii)

Soalan 3

141

149

3

Soalan 4

211

82

0

Soalan 5

187

106

0

Pada mulanya, bancian ini mensasarkan 300 orang responden yang terdiri daripada mahasiswa unisza. Namun, hanya 293 orang sahaja yang menghantar borang bancian ini. Berikut adalah konklusi yang dapat saya ambil daripada bancian ini.

Soalan 1

Soalan ini adalah lebih kepada melihat pengetahuan am mahasiswa/i UniSZA berkenaan penubuhan GEMPUR selama hampir 2 tahun. Peratusan sebanyak 84.3% menunjukkan gerak kerja GEMPUR berjaya mencuri tumpuan mahasiswa khususnya di dalam lokaliti UniSZA.

Soalan 2

Soalan ini sedikit sebanyak melihat tumpuan mahasiswa/I UniSZA lebih terarah kepada hebahan-hebahan melalui media sosial iaitu facebook,twitter dan sebagainya. Peratusan yang menjawab media sosial adalah sebanyak 66.9%. Mengikut unjuran saya, sepatutnya yang menjawab lain-lain adalah seramai 46 orang namun bancian menunjukkan lebih 2 bancian. Anggapan saya 2 bancian itu adalah rosak. Faktor hebahan media massa yang kurang adalah gerak kerja GEMPUR kurang mendapat perhatian, namun ia adalah sesuatu yang dapat dibanggakan kerana sekurang-kurangnya untuk tempoh yang belum matang, ia berjaya mendapat liputan saluran Astro Awani ketika demonstrasi Yayasan Terengganu pada waktu itu.

Soalan 3

Mengikut pandangan saya, daripada 149 orang yang menjawab TIDAK, hanya 103 sahaja mengenali GEMPUR namun tidak mengetahui agendanya. Bagi yang menjawab YA pula, saya lebih melihat kepada faktor penggunaan nama ‘Mahasiswa’ di dalam GEMPUR sebagai faktor utama untuk para mahasiswa/I UniSZA membuat konklusi bahawa penubuhan GEMPUR adalah untuk membawa suara mereka namun tidak membuat kajian lebih lanjut tentang kenapa gerakan ini ditubuhkan.

Soalan 4

Soalan no.4, saya turut mengambil pendirian bahawa penggunaan nama ‘Mahasiswa’ memainkan peranan penting menyebabkan mereka cenderung untuk melihat GEMPUR ini adalah sebuah gerakan mahasiswa. Saya juga berkesempatan untuk bertanyakan soalan kepada beberapa responden berkenaan kerjasama GEMPUR dengan parti politik, rata-ratanya menjawab tidak. Bagi mereka, mahasiswa perlu berdiri atas nama mahasiswa tanpa campur tangan parti politik.

Soalan 5

Peratusan menjawab ‘Ya’ pada soalan no.5 adalah sebanyak 63.8 %. Bagi saya, peratusan ini adalah kesan selepas Pilihanraya Kampus (PRK). Ditambah pula faktor mahasiswa sudah muak dengan sistem pentadbiran didokong pula dengan gelombang merah. Meskipun penggunaan perkataan radikal adalah suatu yang negatif bagi ruang lingkup mahasiswa unisza serta masih ada yang tidak tahu makna radikal, sedikit sebanyak peratusan masih menunjukkan tindakan radikal adalah sesuatu yang perlu bagi mereka.

 

KESIMPULAN

Kertas kerja ini adalah sebuah tinjuan ringkas yang dapat saya lakukan sepanjang pemerhatian saya sebagai salah seorang ahli GEMPUR. Masih terdapat beberapa kekurangan yang saya perhatikan sepanjang kertas kerja ini dibuat. Antaranya adalah dari segi bancian yang mana ia dilakukan selepas Pilihanraya Kampus (PRK). Hal demikian kerana mentaliti mahasiswa pada waktu itu masih dalam keadaan terumbang-ambing kerana PRK pada waktu itu telah meninggalkan kesan yang mendalam pada mereka.

Selain itu, kertas kerja ini juga tidak membuat sesi soal jawab bersama para profesional untuk memberi pandangan ilmiah mereka sepanjang gerak kerja GEMPUR. Dari segi pengolahan tentang sejarah dan bancian yang dibuat juga masih terdapat beberapa kekurangan yang mana saya tidak menekankan secara langsung pendapat saya berkenaan bancian yang dilakukan. Saya berharap sahabat-sahabat sekalian dapat memberi pandangan tentang bancian yang dibuat ataupun pelbagai andaian tentang persepsi mahasiswa khususnya dalam lokaliti mahasiswa unisza.

Pelbagai kritikan saya menerima dengan hati terbuka, moga sahabat-sahabat sekalian dapat memberi apa jua pandangan tentang kertas kerja ini. Semoga ia sedikit sebanyak dapat memberi manfaat demi kelangsungan Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) pada masa hadapan. Akhir kata, kertas kerja tinjauan ringkas ini dapat mengenangkan kembali gerak kerja mahupun pelbagai kekurangan sepanjang penubuhan GEMPUR sebagai sebuah gerakan mahasiswa.

Disediakan oleh Hasnul Hadi Ruslan

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Artikel

Leave a comment