‘LISTEN, LISTEN, LISTEN’ : Kemuncak Pembonsaian Minda

Pendidikan pada umumnya adalah satu proses memperkembangkan pertumbuhan dan membentuk peribadi seseorang individu dalam segala aspek kehidupannya termasuklah bidang intelektual, sosial, fizikal, kerohanian, estetika dan moral.

Namun, sebaliknya yang berlaku pada sistem pendidikan Malaysia pada hari ini terutama ketika merujuk kepada sistem pendidikan di peringkat pengajian tinggi, telah berlaku pencabulan ke atas kesucian dan kebebasan akedemik itu sendiri, walaupun sepatutnya mahasiswa itu perlu dididik untuk berfikir dan mencabar ilmu yang disampaikan oleh pensyarah dan ahli akademik.

Isu ‘LISTEN, LISTEN, LISTEN’ yang hangat diperkatakan sekarang ini bukan sahaja berkisar terhadap sikap seorang pemimpin wanita memperlekehkan suara mahasiswi, tetapi ia lebih jauh daripada itu. Isu ini adalah kemuncak kepada beribu lagi projek-projek pembonsaian minda yang dilakukan di dalam universiti kita yang dilakukan secara Gambar dari page Facebook Listen Listen Listen Listen Listen Listen Listendouble-standard. Mahasiswa yang bersuara dan mengeluarkan idea yang kritikal dan bertentangan dengan polisi kerajaan, akan kerap dihukum dan dilabel bukan-bukan seperti tidak beradab, penyokong kekacauan, penggugat keamanan, pembangkang dan macam-macam lagi.

Ditambah lagi dengan tekanan dan sikap sinikal pentadbir terhadap mahasiswa yang lantang bersuara ini. Ini sekaligus melahirkan anak muda yang takut mengekspresikan diri dan takut menyuarakan idealisme tersendiri.

Seharusnya, perbezaan pendapat ataupun idea ini haruslah diraikan serta dihujah dengan cara hujah dibalas hujah dan bukannya dimalukan, diperlekehkan serta diaibkan hanya kerana idea dan pandangan yang dilontarkan itu berbeza dengan apa yang kita percaya dan fahami.

Merujuk kepada sepotongan ayat dalam surah Al-Hujurat ayat 11, yang bermaksud,

“Wahai orang-orang beriman, janganlah suatu kaum memperlekeh kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperlekehkan lebih baik daripada mereka, dan jangan pula wanita-wanita memperlekeh wanita-wanita lain kerana boleh jadi wanita-wanita yang diperlekehkan itu lebih baik daripada mereka, dan janganlah kamu panggil memanggil dengan gelaran-gelaran buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah memperoleh iman”.

Perbezaan pendapat adalah perlu bagi mengelakkan sebuah penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-`ijab bi al-ra’yi’ atau penyakit mengagumi pendapat sendiri yang bagaikan wabak berbahaya yang sedang menjalar dalam urat-saraf umat, yang mampu untuk menghacurkan sesebuah bangsa dan masyarakat.

Apa yang lebih menyedihkan, mahasiswa “YES MAN” dan mengikut sahaja perintah pentadbir akan diangkat sebagai ‘hero’ dan contoh kepada mahasiswa lain. Sehingga dikatakan mereka lah yang benar tanpa memberi ruang langsung kepada individu lain melontarkan idea, apatah lagi mengizinkan idea-idea yang bercanggah dari apa yang diajarkan kepada mereka ini untuk masuk ke dalam saraf pemikiran mereka untuk difikirkan walaupun sejenak. Dengan melihat bagaimana layanan terhadap mahasiswa yang mempunyai buah fikiran berbeza dari aliran arus perdana ataupun pendapat yang berbeza dari golongan pemerintah yang berkepentingan ini, boleh kita  katakan bahawa negara kini mahu melahirkan mahasiswa yang berfikir dengan satu saluran sahaja.

Sampai bilakah kerja-kerja memperlekehkan orang muda serta usaha membonsaikan minda mahasiswa harus berterusan? Berikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berfikir dan mencari kebenaran, bukan menentukan tentang bagaimana untuk berfikir begitu begini. Berikan peluang kepada mahasiswa untuk menyampaikan serta meluahkan pandangan mereka biarpun pandangan mereka itu berbeza ataupun mentah, kerana mahasiswa adalah golongan terpelajar yang sedang belajar, malah mereka inilah yang akan mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada masa akan datang. Raikanlah perbezaan orientasi dan pendapat.

(GEMPUR mewakili front-front daripada kampus sekitar pantai timur bersolidariti dan menyokong penuh saudari Bawani, mahasiswi Universiti Utara Malaysia yang tidak takut untuk berkata benar dan meluahkan pendapat beliau secara terbuka di hadapan mereka-mereka yang tidak faham apa itu falsafah ilmu. GEMPUR juga menuntut, Presiden Suara Wanita 1Malaysia untuk bersikap lebih dewasa dengan memohon maaf secara terbuka kepada saudari Bawani. Tahniah Bawani, lebih baik diasingkan, dari menyerah kepada kemunafikkan.)

Oleh : Azlan Shaheed Zurain B Tuming & Ikhwan Syafaat B Jalaini

Leave a comment