GEMPUR anjur Dialog Mahasiswa Terengganu

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) akan menganjurkan Dialog Mahasiswa Terengganu yang bakal diadakan pada 13 Julai, jam 3 petang bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Dialog kali ini bakal dihadiri oleh mahasiswa yang menuntut di IPT di seluruh negeri Terengganu, dan mahasiswa yang menuntut di luar Terengganu. Antara mahasiswa yang sudah mengesahkan kehadiran adalah mahasiswa dari UMT, UniSZA, UiTM (Chendering), UiTM (Dungun), Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Politeknik Kota, IPGM, Kolej Yayasan Terengganu (KYT) dan TATI UC.

Image

Tema Dialog Mahasiswa Terengganu yang julung kali diadakan ini adalah “Mengungkap Peranan Anak Muda”. Antara aktiviti yang bakal dijalankan sepanjang dialog ini berlangsung adalah sessi bedah buku oleh Pensyarah dan juga Diskopi atau lebih dikenali sebagai sembang kedai kopi.  Tujuan utama GEMPUR menganjurkan dialog sebegini adalah untuk menjalinkan hubungan sillaturahim dan ukhwah antara mahasiswa di seluruh negeri Terengganu dan pada masa yang sama memberi pencerahan kepada mahasiswa secara tidak langsung.  Dialog sebegini bakal dijadikan sebagai program wajib berkala GEMPUR bagi memastikan terdapat jaringan kukuh antara mahasiswa di pelbagai kampus. Terengganu menjadi lokasi pertama Dialog Mahasiswa dan bakal diadakan juga di Kelantan dan Pahang dalam usaha GEMPUR untuk menjadi antara medium dan agen perpaduan antara mahasiswa Pantai Timur.

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti

GEMPUR seru Gerakan Mahasiswa bersatu

  

“Berpegang teguhlah kamu pada tali Allah dan jangan sesekali kamu berpecah-belah”

                                                                                                      Al-Imran; 103

Sepanjang GEMPUR (Gerakan Mahasiswa Pantai Timur) menyertai gerakan mahasiswa arus perdana secara langsung bermula dengan kempen ‘Academic Freedom’, demonstrasi Pendidikan Percuma, diikuti dengan Bersih 3.0, GEMPUR mendukung penuh setiap aksi dan gerak kerja yang dilakukan oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia dan seluruh front yang bernaung di bawahnya. Oleh yang demikian, masyarakat melihat bahawa mahasiswa sudah mula bangkit, namun pada hakikatnya, terdapat pelbagai masalah dan konflik yang melanda peneraju utama gerakan mahasiswa ini.

GEMPUR khususnya sangat terkilan dan kecewa dengan Majlis Kepimpinan baru yang diketuai oleh Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia, Saudara Safwan Anang. Pemerhatian konseptual yang dilakukan oleh GEMPUR melihat bahawa SMM seperti sudah hilang roh perjuangan mahasiswa. Penglibatan sebahagian besar kepimpinan SMM secara aktif di dalam ranjang politik kepartian negara dewasa ini dilihat menjadi penyumbang utama kepada lucutnya imej non partisan dari setiap batang tubuh individu yang bergelar aktivis mahasiswa. Secara prinsipnya, GEMPUR menghormati hak mahasiswa terlibat secara langsung di dalam politik kepartian, namun adalah sangat tidak wajar untuk mereka mendahulukan parti politik daripada gerakan mahasiswa, dan lebih malang lagi, menunggangi gerakan untuk kepentingan sesetengah parti politik!

Perpecahan dalam gerakan mahasiswa juga kini sudah semakin membarah. Hal ini beranjak apabila front terbesar dalam SMM, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) telah mula berkira-kira untuk mengambil keputusan keluar daripada SMM akibat konflik yang berlaku selepas demonstrasi Pendidikan Percuma, dan kesannya dapat dilihat pada Kongres Gerakan Mahasiswa Nasional ke 4 yang lalu apabila seluruh Persatuan Mahasiswa Islam yang bernaung di bawah GAMIS bertindak seperti memulaukan kongres tersebut. Lebih parah lagi dengan kegagalan figura-figura SMM untuk turut hadir ke kongres itu.

Selain itu, masalah displin, komitmen dan ego adalah antara masalah yang sedang menyelubungi kepimpinan SMM kini. Dapat dilihat secara jelas bahawa SMM sudah mula hilang fokus perjuangan dan nilai konstruktif daripada pelbagai sudut. Hal ini dikhuatiri akan menjadi penyebab utama mahasiswa dan rakyat bertambah mual dengan perjuangan gerakan mahasiswa. GEMPUR menyarankan agar SMM dapat kiranya menyelesaikan segala permasalahan dan konflik secara rasional dan bermuhasabah demi memberi imej baik kepada perjuangan gerakan mahasiswa.

GEMPUR bersedia dengan sepenuh tenaga dan kudrat untuk menjadi agen dan unsur penyatu dalam permasalahan ini. GEMPUR menganjurkan supaya seluruh aktivis mahasiswa melupakan persengketaan antara satu sama lain dan pulang kepada konsep Adab al-Ikhtilaf – bekerjasama dalam urusan yang disepakati dan berkompromi dalam urusan yang dipersilihkan.

 

Presiden

Muhammad Syahmi Hazim b Mohd Ithnin.

GEMPUR seru mahasiswa pantai timur turun ke Bersih 3.0 – Duduk Bantah!

Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) menyeru seluruh mahasiswa pantai timur untuk turun bersama-sama ke Perhimpunan Duduk Bantah, Bersih 3.0 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka,Kuala Lumpur sabtu ini.

Seruan ini selaras dengan tanggungjawab mahasiswa sebagai agen perubahan dan jauh lebih penting, mahasiswa juga berperanan  sebagai warganegara yang mempunyai hak bagi menuntut sistem Pilihanraya yang Bersih,Telus & Adil.GEMPUR berpandangan bahawa pilihanraya umum adalah medium yang paling penting dalam proses melakukan perubahan dalam sistem pemerintahan & pembentukan dasar-dasar negara.Proses memilih tampuk pemerintahan ini hanya dilakukan 5 tahun sekali,oleh itu ini adalah peluang yang terbaik bagi rakyat menentukan halatuju negara dengan memilih kerajaan manakah yang sesuai bagi mengemudi negara yang tercinta ini.

Malaysia telah melalui satu period yang agak kritikal sejak beberapa dekad terakhir ini.Dalam masa kita mengejar status sebagai sebuah negara maju menjelang tahun 2020, namun dalam masa yang sama, kita masih lagi tidak mampu mengekang peningkatan gejala rasuah, korupsi, penyelewengan, pembangunan tidak seimbang, peningkatan kos sasra hidup, diskriminasi perkauman, krisis ekonomi dan sebagainya.Di sudut lain pula, rakyat masih lagi dikelirukan dengan informasi-informasi & maklumat yang salah terutamanya daripada media yang bersifat berat sebelah.Ditambah pula dengan sistem pilihanraya yang kurang meyakinkan dan telah dibuktikan dengan bermacam-macam kelemahan, maka sudah tiba masanya rakyat,khususnya anak muda bangkit menuntut perubahan dilakukan ke atas proses pilihanraya ini bagi memastikan pemilihan kerajaan bukan berdasarkan sentimen & kepercayaan/taqlid buta berasaskan propaganda media & jentera yang berat sebelah,tetapi GEMPUR mahukan keputusan Pilihanraya Umum ke-13 ini dilakukan setelah rakyat melalui proses yang adil, mendapatkan maklumat yang telus & berdasarkan ilmu dan kefahaman yang jelas tentang matlamat & dasar sesebuah kerajaan yang bakal memerintah.

Adalah menjadi hak kita,sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang  dirasakan yakin untuk melakukan pembangunan yang mampan serta lestari dalam semua aspek & merencanakan agenda pembangunan multidimensi merangkumi elemen spiritualistik & materialistik.Namun, sebelum memastikan semua itu tercapai, pilihanraya yang bersih, telus & adil juga wajib dilaksanakan bagi memastikan proses pemilihan sebuah kerajaan itu benar-benar berkualiti & tidak meragukan.

GEMPUR berpandangan, melabelkan Himpunan Bersih 3.0 dengan label yang tidak sepatutnya seperti omongan bahawa Bersih 3.0 adalah agenda membantu pembangkang memenangi pilihanraya, agenda mencetuskan huru-hara, agenda mempergunakan mahasiswa dan sebagainya adalah satu pandangan yang kurang bijak, yang sengaja dilakukan oleh orang yang kurang membaca,kurang membuat analisis &  bermentaliti terkebelakang.Persepsi ini sengaja direka bagi mengalihkan isu sebenar daripada pengetahuan rakyat.Isu ini harus diterima dengan melihat kepada tuntutan induknya, yakni menuntut:

  1. Pembersihan Senarai Undi
  2. Mereformasikan Undi Pos
  3. Penggunaan Dakwat Kekal
  4. Akses kepada Media yang Bebas & Adil
  5. Masa Berkempen minima 21 hari
  6. Pengukuhan Institusi Awam
  7. Hentikan Rasuah
  8. Hentikan Politik Kotor

Tuntutan ini mesti dipenuhi oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan jentera awam yang terbabit sebelum Pilihanraya Umum ke-13 berjalan.Mereka mempunyai kuasa & autonomi untuk melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dan di peringkat rakyat pula, kita seharusnya menjadi “pressuring-power” bagi mendesak pihak terbabit menjalankan amanah selaras dengan kehendak rakyat.

GEMPUR percaya, rakyat yang waras & cintakan keadilan sudah tentu bersetuju dengan kesemua tuntutan ini.Mahasiswa seharusnya memfokuskan tentang isu induk ini tanpa memikirkan hal remeh temeh yang menjadi punca mengapa kita tidak dapat melakukan keadilan dalam proses negara ini. Seseorang yang menuntut keadilan perjalanan sistem kerajaan, tidak semestinya dia penyokong pembangkang, tetapi itu tuntutan naluri insani yang inginkan sesuatu berjalan dengan cara yang betul.

Kesimpulannya, GEMPUR tidak kisah siapa pun menang dalam pilihanraya, tetapi menanglah dengan cara yang adil dan saksama.Lakukanlah proses perubahan dalam sistem pilihanraya supaya rakyat benar percaya dengan keadilan dalam sistem yang ada. Setelah keadilan dilakukan, barulah rakyat melakukan proses pemilihan dengan adil. Kita mesti akur dengan kerajaan pilihan rakyat secara adil dan saksama.Ayuh, kita bersama-sama membetulkan niat kita demi kecintaan terhadap  negara.Mahasiswa seharusnya ke hadapan dalam mengangkat dan memartabatkan keadilan dalam sistem negara.

GEMPUR menjangkakan hampir 1,000 mahasiswa dari pantai timur akan turun bersama-sama menunujukkan solidariti.Berhimpunlah dengan penuh semangat, adab & akhlak serta berpegang dengan nilai-nilai yang baik.Pasti,kita semua sayangkan negara ini dan ingin memastikan negara ini benar-benar menjadi sebuah negara yang baik dalam semua aspek.Semoga Allah merahmati segala usaha kita!

-Setiausaha GEMPUR

FLASHMOB PENDIDIKAN PERCUMA TERENGGANU

Sejak isu pendidikan percuma ini diuar-uarkan dan menjadi antara salah satu tuntutan 9 Malaysia Bangkit, ia menjadi bualan panas baik di kalangan mahasiswa, para pendidik, golongan professional, para menteri sehinggalah golongan ibu bapa di bandar-bandar dan di kampung-kampung pedalaman negara. Pendidikan percuma bukan satu isu baru yang diketengahkan oleh Malaysia Bangkit, tetapi perlaksanaannya telah lama diimplementasikan dalam dunia pendidikan sejarah ketamadunan Islam. Lihat sahaja sejarah Islam yang telah dicipta semasa pemerintahan Bani Abbasiyyah di Kota Baghdad dan juga perlaksanaan pendidikan percuma semasa pemerintahan Andalus. Dalam sejarah ketamadunan Islam, kedua-dua pemerintahan ini sangat singnifikan dan  terkenal dengan pemusatan tempat pengajian ilmu oleh pencinta ilmu apabila pendidikan percuma diberikan kepada sesiapa yang ingin menuntut ilmu. Pendidikan percuma diberikan kepada rakyat bagi sesebuah negara berkebajikan kerana ia dianggap sebagai keperluan asasi bagi setiap rakyat. Sehinggalah sistem kapitalis merobek keperluan asasi ini dan menjadikannya suatu perniagaan yang menguntungkan (hanya rakyat yang berkemampuan sahaja yang boleh mendapatkan ilmu pelajaran).

Oleh yang demikian, melihat kepada isu pendidikan percuma ini adalah satu aspek keperluan asasi rakyat, gerakan-gerakan mahasiswa menyedari bahawa isu ini adalah suatu isu yang harus dituntut haknya untuk dikembalikan kepada rakyat sesebuah negara khususnya di Malaysia. Berikutan itu, satu demonstrasi menuntut pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN telah diadakan di Kuala Lumpur pada 14 April 2012 dan sehingga sekarang satu “protest camp” didirikan di Dataran Merdeka yang memperlihatkan seriusnya tuntutan mahasiswa terhadap isu ini.

Sehubungan dengan itu, Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) telah mengadakan “flashmob” fasa pertama di sekitar Kuala Terengganu pada 19 April 2012. “Flashmob” ini bertujuan untuk menunjukkan solidariti bersama mahasiswa yang berkhemah di Dataran Merdeka demi untuk memperjuangkan isu pendidikan percuma dan pemansuhan PTPTN. Flashmob ini juga bertujuan bagi mengecam tindakan sekumpulan samseng (disyaki diupah oleh pihak-pihak tertentu) yang secara sengaja menyerang mahasiswa-mahasiswa yang menghuni “protest camp” tanpa ada sebarang provokasi yang dibuat, juga di samping memberi pencerahan dan kesedaran kepada masyarakat sekitar Kuala Terengganu tentang peristiwa yang berlaku di Dataran Merdeka.

Flashmob yang telah diadakan pada jam 5.30 petang bermula di Datarab Syahbandar, Kuala Terengganu dengan mengangkat sepanduk yang tertulis “Free Educatin Now”, “Support Protest Camp” dan pelbagai lagi. Mahasiswa yang terlibat ialah Amar, Asraf, Jerry, Azraai dan Joshua (bukan nama sebenar) lalu memberi sedikit pencerahan kepada masyarakat sekitar tentang isu pendidikan percuma dan apa sebenarnya yang berlaku di Dataran Merdeka. Pada kira-kira jam 6.00 petang, mereka bergerak ke ICT dan Chinatown di sekitar Bandar Kuala Terengganu untuk meneruskan agenda flashmob tersebut. Kira-kira pada jam 7 petang, flashmob berakhir dan mahasiswa yang terlibat bersurai secara aman. Meskipun hujan di sekitar Kuala Terengganu, mahasiswa-mahasiswa ini tetap bersemangat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat berkenaan isu pendidikan percuma ini bagi melihat generasi akan datang mendapat hak pendidikan percuma dari kerajaan Malaysia. Flashmob ini tidak berhenti di sini sahaja memandangkan flashmob fasa kedua akan menyusul tidak lama lagi juga di sekitar Kuala Terengganu untuk mengekalkan momentum mahasiswa sebagai jurubicara rakyat.

Laporan oleh: Unit Aksi dan Propaganda GEMPUR

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti

GEMPUR Turun Demonstrasi : Momentum Mahasiswa untuk Rakyat

Pada 19hb april 2012 jam 2.00 petang Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) bersama Gabungan Mahasiswa Islam Se Malaysia (GAMIS) cawangan Terengganu, Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (MAMPAT), Himpunan Mahasiswa Islam Terengganu (HISMAT) dan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) telah turun berhimpun berhubung isu 9 mahasiswa Terengganu Mesir yang telah ditarik pinjaman mereka kerana menyertai BERSIH 2.0 di Mesir

 

Demostrasi telah diketuai oleh Saudara Muhammad Asraf mewakili GEMPUR, Saudara Umar mewakili GAMIS dan Saudara Syed Solah mewakili Mahasiswa Yayasan Terengganu. Demostrasi dimulai pada jam 2.00 petang dengan mahasiswa berarak dari banggunan Yayasan Terengganu menuju ke Wisma Darul Iman. Speaker corner telah diadakan dihadapan Wisma Darul Iman dan setiap wakil mahasiswa dan NGO yang menyertai himpunan memberi ucapan dan mengecam tindakan Menteri Besar Terengganu, Dato Ahmad bin Said dan Yayasan Terengganu yang masih berdegil mengekalkan keputusan penarikan pinjaman ke Sembilan mahasiswa Terengganu ini. Penarikan ini sama sekali melanggar Perkara 10, Perlembagaan Persektuan yang memberi kebebasan untuk rakyat berhimpun, bersuara dan berpersatuan. Seorang wakil ibu bapa dari Sembilan mahasiswa ini turut memberi ucapan.

 

Upacara simbolik dengan meletakkan khemah di hadapan banggunan Wisma Darul Iman adalah tanda sokongan dan solidariti mahasiswa Pantai Timur terhadap teman-teman mahasiswa, occupier dan rakyat yang masih tetap berhimpun di Dataran Merdeka walaupun menerima pelbagai tentangan daripada DBKL, Polis dan samseng upahan daripada pihak yang tidak bertanggungjawab. Selain itu juga wakil GEMPUR turut melakukan sedikit pencerahan kepada rakyat berkenaan isu pendidikan percuma bertujuan supaya rakyat sedar dan jelas akan isu yang sedang hebat diperdebatkan di peringkat nasional.

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti

GEMPUR Gagal Serah Petisyen Bantahan kepada Kerajaan Negeri Terengganu

Mengawali bicara laporan, pada tarikh 12 April 2012 (Khamis) bersamaan 20 Jamadilawal 1433 H, Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) bersolidariti bersama Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang diwakili 18 orang mahasiswa telah menghantar petisyen bantahan berkaitan isu 9 mahasiswa Terengganu di Mesir yang diberhentikan pembiayaan oleh Yayasan Terengganu. Sokongan melalui tandatangan di petisyen ini menunjukkan “suara dalaman” mahasiswa sekitar Pantai Timur dan juga rakyat Terengganu amnya yang bertindak membantah tindakan Yayasan Terengganu dalam isu 9 mahasiswa tersebut.

Tepat jam 2.30 petang, GEMPUR yang diketuai Presidennya, Muhammad Syahmi Hazim bin Mohd Ithnin bergerak memasuki perkarangan Yayasan Terengganu dan meminta kebenaran untuk menghantar petisyen kepada pihak Yayasan Terengganu. Sedikit perbincangan telah diadakan di pejabat Ketua Penolong Timbalan Pengarah, Encik Mohammad bin Kassim sebelum petisyen tersebut diterima dan disemak. Dalam perbincangan tersebut, pihak GEMPUR dimaklumkan bahawa mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk mempertimbangkan keputusan tindakan penamatan pinjaman tersebut yang sebelum ini diuar-uarkan akan diadakan pada 10 April 2012, belum dijalankan oleh pihak Yayasan Terengganu. Justeru, GEMPUR ingin mempersoalkan atas kapasiti apakah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said mengeluarkan kenyataan di media pada 7 April 2012 bahawa Kerajaan Negeri Terengganu tetap dengan pendirian menarik balik serta merta pinjaman ke atas 9 mahasiswa Terengganu di Mesir sedangkan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah untuk memutuskan perkara ini belum disepakati di pihak Yayasan Terengganu? Ini jelas dan terbukti bahawa Yayasan Terengganu telah dijadikan instrumen politik sempit sepertimana yang dinyatakan di dalam memorandum GEMPUR sebelum ini apabila semua keputusan diputuskan oleh Menteri Besar Terengganu secara mutlak.

Setelah menyerahkan petisyen bantahan tersebut di Yayasan Terengganu, kira-kira pada jam 3 petang, solidariti GEMPUR bersama SAMM terus bergerak menuju ke Wisma Darul Iman untuk menyerahkan petisyen bantahan kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said sendiri ataupun wakilnya. Malangnya, setelah GEMPUR cuba berdiplomasi untuk menyerahkan petisyen tersebut, pihak Wisma Darul Iman memberikan alasan tiada wakil yang layak dari Kerajaan Negeri Terengganu untuk menerima petisyen bantahan tersebut. GEMPUR akur dan tidak menyerbu naik ke pejabat Wisma Darul Iman kerana ia bukan budaya GEMPUR untuk dilihat biadap dan tidak bersopan. Walaubagaimanapun, ribuan terima kasih diucapkan kepada pihak keselamatan Wisma Darul Iman kerana memperlihatkan budaya diplomasi yang tinggi walaupun terdapat tekanan dari pihak atasan Kerajaan Negeri.

Sebelum solidariti GEMPUR dan SAMM bersurai, Presiden GEMPUR “diserang” oleh seorang wanita yang berumur dalam lingkungan 40-an daripada Kelab Penyokong UMNO dengan bertindak memberikan pendapatnya berhubung isu 9 mahasiswa Mesir tersebut. Konsep syukur kepada kerajaan telah dipolemikkan sehingga menunjukkan bahawa pencabulan, kezaliman dan ketidakadilan oleh kerajaan dibolehkan atau diharuskan hanya kerana kerajaan “bersusah payah” memberikan bantuan wang untuk pendidikan rakyatnya. Situasi yang sangat sarkastik telah menyelubungi sekumpulan wakil GEMPUR apabila mendengar hujahnya yang sangat tidak matang dan mentafsirkan nas-nas al-Quran sesuka hati. Begitu juga sikap tidak matang yang ditunjukkan oleh seorang lelaki yang mungkin berumur dalam lingkungan 60-an (Azmy Awang Kelana Jaya-blogger tegar UMNO) apabila cuba membanding-bandingkan pencapaian akademiknya (kemungkinan ingin memberi nasihat kepada anak mahasiswa sekalian bahawa pelajaran itu lebih penting daripada bertindak menegakkan keadilan kononnya) dengan sekumpulan wakil GEMPUR di hadapan Wisma Darul Iman. Walaubagaimanapun, GEMPUR menyambut baik “nasihat-nasihat” yang diberikan dan ini menunjukkan bahawa wujudnya rakyat yang masih peka dan ingin menilai isu-isu rakyat dengan lebih mendalam. Penyerahan petisyen ini bersurai secara aman kira-kira pada jam 3.30 petang.

Laporan oleh: Unit Aksi & Propaganda GEMPUR

 

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti

Pendidikan Percuma: Islam telah memulakannya sejak awal lagi

“Kami mahu pendidikan percuma! Kami tuntut mansuhkan PTPTN!”
Slogan & laungan ini, jika didengari, pasti dalam kalangan kita yang akan menyokong penuh & bersetuju, terutamanya golongan mahasiswa & pekerja yang masih terbeban dengan hutang PTPTN.Isu tuntutan perlaksanaan dasar pendidikan percuma ini bukanlah sesuatu isu yang baru,bahkan ia sudah lama kedengaran cuma sejak akhir-akhir ini sengaja dipanaskan semula.Bermula dengan kenyataan Yang Berhormat Datuk Paduka Husam b. Haji Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang berjanji untuk melunaskan hutang PTPTN mahasiswa negeri Kelantan jika hak royalti petroleum negeri Kelantan dikembalikan kepada negeri tersebut.Perkara ini berterusan dengan pengajuran-penganjuran forum tentang Pendidikan Percuma & siri penerangan tentang PTPTN yang dikatakan zalim.Kisah saudara Mandeep Singh, bekas pelajar Unisel, yang ditahan sewaktu hendak berlepas ke China di Lapangan Terbang LCCT, Sepang adalah antara rentetan peristiwa ketidakadilan sistem PTPTN terhadap peminjamnya.Kes Kenny Zhai Lan Ting juga antara yang menjadi perbualan hangat bilamana pelajar terbabit telah meminjam sebanyak RM 48,000 daripada PTPTN dan dikehendaki membayar semula wang tersebut sebanyak RM 13,829.09 sebagai upah kos pentadbiran yang menyaksikan jumlah yang perlu dibayar olehnya adalah sebanyak RM 61,829.09.Ini tidak termasuk lagi dengan kes-kes kehilangan wang & ‘rompakan’ wang pelajar oleh institusi-insitusi pendidikan tertentu.

Kronologi kes

Sementara itu, isu ini turut dijadikan peluang oleh parti pembangkang menjelang Pilihanraya Umum ke-13 ini apabila PKR dan PAS sebelum ini memberikan komitmen untuk menghapuskan PTPTN dan memberikan pendidikan percuma hingga ke universiti jika berjaya menawan Putrajaya.[Malaysiakini, 26 Mac 2012]. Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi nada yang sama, dalam sebuah ceramah di Port Dickson berkata, pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Nasional (PTPTN) bernilai RM43.6 bilion dapat dilepaskan dalam masa tiga tahun.Jika kita dapat memperuntukkan beberapa bilion daripada RM150 bilion pendapatan negara setiap tahun, beban itu mampu dibersihkan dalam tiga tahun, kata Anwar dalam dialog bersama lebih 100 profesional muda di Putrajaya.Dana itu, katanya, akan diperoleh daripada pemotongan perbelanjaan yang membazir seperti pembayaran untuk meningkatkan imej negara di mata dunia dan daripada syarikat kerajaan yang membuat keuntungan tinggi seperti Petronas. [Malaysiakini, 23 Mac 2012]

Lain pula nadanya di peringkat kerajaan, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khalid Nordin berkata bahawa cadangan pakatan pembangkang hendak menghapuskan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) jika ia berkuasa adalah tidak relevan buat masa ini.Penghapusan pembiayaan PTPTN hanya akan mengurangkan semangat daya saing di kalangan pelajar di samping membebankan kerajaan kerana terpaksa mendirikan lebih banyak institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk memberi pendidikan secara percuma kepada masyarakat.Malah, kata beliau, tindakan itu juga akan mengurangkan permintaan terhadap institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dalam negara, seterusnya menyebabkan ia terus ditutup.Kerajaan sebaliknya telah mengambil pendekatan lain dalam mengurangkan beban pelajar dengan menukar status pembiayaan PTPTN kepada biasiswa bagi pelajar yang mendapat ijazah kelas pertama untuk terus mecapai matlamat membentuk rakyat yang berdaya saing. [Utusan Malaysia, 28 Mac 2012]

Di peringkat mahasiswa, ada yang bersetuju dengan pemansuhan ini, ada yang tidak bersetuju dan ada juga yang tidak mahu ambil tahu kerana menganggap ini adalah modal & permainan politik terutamanya menjelang Pilihanraya Umum ke-13 nanti.Sebagai simbol bantahan,Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menaungi 10 kumpulan gabungan mahasiswa – antaranya Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Gerakan Demokratik Mahasiswa & Belia (DEMA), Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) dan Legasi Mahasiswa Progresif (LMP) pula akan menganjurkan perhimpunan menuntut pemansuhan pinjaman PTPTN & menuntut pendidikan percuma pada 14 April 2012 ini (Sabtu) di Dataran Merdeka.

Di peringkat ahli akademik pula,Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Tan Sri dr.Ghauth Jasmon berkata “Berdasarkan pengalaman mengurus IPTS serta IPTA, saya boleh nampak pentingnya pelajar membayar sebahagian daripada kos pengajian kerana mereka akan lebih bertanggungjawab dan bekerja kuat untuk mencapai kecemerlangan. Lebih-lebih lagi jika gagal di IPTS, mereka akan ‘sakit’. Namun jika percuma sepenuhnya, mereka tidak menghadapi tekanan untuk cemerlang.” Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam, Institut Kajian Strategik dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam, berkata cadangan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menggunakan wang Petronas membiayai pendidikan negara bukan saja tidak praktikal, malah akan meranapkan syarikat minyak negara. [Berita Harian, 9 April 2012].

Yang terbaru, rentetan ‘pertelingkahan’ antara pembangkang & kerajaan ini seakan-akan memberikan ‘bonus’ awal kepada mahasiswa dan golongan yang terikat dengan pinjaman ini apabila Ketua pegawai operasi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, Wan Ahmad Wan Yusof berkata badan itu sedia berunding dengan peminjam yang disenaraihitam dan juga yang tidak mampu membuat bayaran.Katanya, peminjam boleh membayar sejumlah wang yang dipersetujui serta komitmen bayaran bulanan serendah RM100 sebulan untuk melepaskan diri daripada senarai hitam yang menghalang mereka daripada ke luar negara. [Malaysiakini, 11 April 2012].Ini sekaligus menyedarkan sedikit mata pihak PTPTN agar tidak terus menghukum peminjam tanpa sebarang diplomasi & rundingan terlebih dahulu.

Banyak lagi kenyataan yang penulis tidak sempat masukkan ke dalam artikel ini.Sengaja penulis membawa beberapa kronologi peristiwa ini supaya kita jelas & mengambil tahu akan apakah sebenarnya yang terjadi sejak akhir-akhir ini dan adakah ia memberi sebarang kemaslahatan kepada golongan mahasiswa.

Apa itu Dasar Pendidikan Percuma?


Sebelum mengulas lebih lanjut, mari kita kembali semula kepada asas & prinsip tentang pendidikan percuma.Apakah itu dasar pendidikan percuma? apakah pengisiannya? dan siapakah sasarannya.Secara umumnya dasar pendidikan percuma adalah pendidikan yang diberikan kepada rakyat secara percuma,yang ditanggung atau ditaja dengan menggunakan subsidi negara yang dikutip daripada hasil cukai, daripada wang infaq (sumbangan) ataupun badan-badan kebajikan (NGO).Beberapa negara di dunia ini telah menjalankan dasar ini seperti Finland, Norway, Brazil, Sweden, Denmark, Greece, Scotland, Jerman, Austria, Argentina, Libya, Cuba dan China. Penulis mengambil contoh terbaik, di Finland dasar pendidikan percuma mereka diterapkan dari peringkat tadika sehinggalah ke peringkat Ijazah Kedoktoran (Phd) kepada semua termasuk bukan warganegara.Bezanya,warganegara mendapat keistimewaan dgn kos tanggungan sara diri dan tempat tinggal.[Social Welfare in Finland, 2006] Begitu juga dengan Norway & Sweden namun beberapa perubahan telah berlaku baru-baru ini apabila pendidikan percuma di Sweden hanya untuk rakyat Kesatuan Eropah sahaja.DI Scotland pula, negara terbabit menggunakan hampir 1-2 billion euro daripada baucar cukai rakyat sehinggakan rakyat di wilayah lain di United Kingdom berasa iri hati dengan keputusan Scotland ini.

Sistem pembiayaan pendidikan di Malaysia

Kita pergi pula ke Malaysia,secara umumnya, sebelum tahun 1997, pendidikan di Malaysia terutamanya di peringkat pengajian tinggi ditanggung oleh kerajaan menerusi pemberian biasiswa.Namun, dasar pendemokrasian pengajian tinggi (bermula sejak DEB 1990) yang memberikan ruang yang luas untuk rakyat melanjutkan pelajaran ke universiti & menetapkan kuota bumiputra (70%) ke universiti telah menyaksikan pertambahan penuntut IPTA dari tahun ke tahun.Tambahan pula dengan kewujudan Institut-institut pengajian tinggi swasta (IPTS) yang tumbuh seperti cendawan bermula dari tahun 1990,maka, kerajaan tidak mampu menampung serta membiayai pertambahan bilangan pelajar ini lalu memperkenalkan Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) pada tahun 1997.PTPTN adalah sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan di bawah Akta Tabung Pendidikan Tinggi Nasional 1997 (Akta 566). PTPTN mula beroperasi pada 1 November 1997. Ia berfungsi untuk mengadakan dan memberikan pinjaman pendidikan berbentuk bantuan kewangan. Ia juga menguruskan perkhidmatan mentadbir, mengawas dan memungut bayaran balik pinjaman serta memungut deposit, merekabentuk dan menyediakan skim simpanan bagi maksud menyimpan bagi tujuan pendidikan tinggi [http://www.ptptn.gov.my].

Kononnya PTPTN dikatakan dapat membantu rakyat untuk menampung kos pembelajaran dan sara hidup yang semakin meningkat. Sistem ini dikatakan memberi faedah yang lebih besar kepada mahasiswa untuk bersaing merebut kedudukan yang terbaik dalam pelajaran.Dikatakan bahawa jika pelajar diberi biasiswa, mereka tidak menghargainya sehingga tidak belajar bersungguh-sungguh dan ada yang mengamalkan corak perbelanjaan yang berlebihan. Ia dikatakan adil kerana pihak yang yang mendapat faedah terbesar secara langsung adalah para pelajar dan ia merupakan satu pelaburan untuk masa hadapan.Selain itu PTPTN telah diserahkan tugas untuk menyalurkan pinjaman kepara pelajar. Perubahan atau peralihan tugas ini dirasakan perlu atas alasan permintaan memasuki pengajian tinggi meningkat dan kerajaan ingin meluaskan peluang melanjutkan pendidikan.

Bagi penulis, ini semua adalah benar jika dilihat dari sudut kacamata sang kapitalis yang rakus ingin membuat wang. Semua asasnya adalah manfaat dan balasan fizikal.Padahalkeputusan ini sebenarnya adalah satu daripada pelepasan tanggungjawab kerajaan. Seperti yang dinyatakan sebelum ini, semenjak 1990-an, bantuan kewangan kerajaan kepada pelajar institusi pengajian tinggi telah semakin berubah daripada biasiswa kepada bentuk pinjaman.

Adakah dasar pendidikan percuma dalam Islam?

Bagi seorang Muslim,sudah tentu tindakan, fikiran & juga pendapat kita mestilah selari dengan pandangan Islam.Dasar yang penulis sebutkan di atas ini adalah semuanya dipelopori & dilaksanakan oleh Barat & Kapitalis.Persoalannya, Islam, ad-Deen/sistem kehidupan yang dikatakan dapat menyelesaikan segala permasalahan umat, adakah agama ini ada menyatakan apa-apa panduan mengenai pendidikan khususnya pendidikan percuma? Adakah sistem pendidikan percuma yang dipelopori oleh barat hari ini dilihat bertepatan dengan Islam?

Penulis tidak mahu mengeluarkan apa-apa fatwa ataupun hukum tentang pendidikan percuma, di atas dasar kejahilan & kekurangan diri penulis.Namun, mengikut ilmu yang penulis ada, penulis berasa terpanggil untuk berkongsi tentang beberapa perkara.Pertamanya, mari kita kembali kepada asas & sejarah dari sudut Islam.Disebutkan dalam hadith Nabi SAW “Menuntut ilmu wajib bagi setiap Muslim.” (riwayat baihaqi & ibnu adi).Islam memandang ilmu itu  sebagai sesuatu yang wajib dan termasuk keperluan serta hak asas setiap individu. Berdasarkan apa yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW, baginda telah mengarahkan tawanan Perang Badar untuk mengajar membaca dan menulis sepuluh anak kaum Muslimin sebagai syarat penebusan mereka. Dengan tindakan ini, yakni membebaskan para tawanan dengan cara menyuruh mereka mengajar anak-anak kaum Muslimin, bererti Rasulullah telah menjadikan biaya pendidikan setara dengan barang tebusan.Maksudnya, Rasulullah (seperti) telah memberi upah kepada para pengajar itu dengan harta benda yang seharusnya menjadi milik Baitul Mal.

Disebutkan pula dalam hadith yang lain,“Seorang imam (pemimpin) itu adalah penggembala (pemelihara) dan dia bertanggungjawab di atas pemeliharaannya…” (riwayat Ahmad, Syaikhan, Tirmidzi, Abu Daud dari Ibnu Umar).Hadith ini dengan jelas meletakkan tanggungjawab pemeliharaan atau penjagaan ke atas bahu para pemimpin. Justeru, di dalam bidang pendidikan, memberi pendidikan dan menyediakan segala kemudahan yang berkaitan dengannya adalah tanggungjawabbagi setiap pemimpin dan semuanya mesti disediakan secara percuma kepada rakyat. Dia bertanggungjawab menjaga rakyatnya, bukan membebankan rakyatnya. Bebanan yang diletakkan ke atas bahu rakyat adalah satu bentuk penindasan dan kezaliman oleh sang pemimpin. Maka, haram ke atas pemimpin melakukan maksiat ini dan mereka pasti akan disoal oleh Allah SWT di atas kezaliman dan dosa yang mereka lakukan.

Bahkan sewaktu zaman pemerintahan Islam dulu pun, Khalifah Islamiyyah juga memberi pendidikan percuma,ini dapat dilihat sewaktu pemerintahan Khulafa Ar-Rasyidin.Di Madinah terdapat tiga orang guru yang mengajar anak-anak. Khalifah Umar memberikan nafkah kepada tiap-tiap mereka lima belas dinar setiap bulan. (satu dinar = 4.25 gram emas). Di samping itu, para khalifah sepanjang masa ketika Daulah Khilafah Islamiyyah memerintah, juga memberikan pendidikan percuma kepada warganegaranya. Ibnu Sina dan seangkatan dgnnya jadi hebat akibat daripada sistem pendidika percuma yg dijalankan oleh pemerintah Daulah Abbasiyyah di Baghdad Iraq yg sewaktu tu menjadi pusat ilmu terkemuka dunia.Hal ini menunjukkan bahawa masalah pembiayaan pendidikan adalah tanggungjawab negara. Atas dasar ini, negara bertanggungjawab menyediakan pendidikan percuma kepada warganegaranya, sama ada Muslim maupun kafir dzimmi, agar mereka boleh menjalankan kewajibannya (menuntut ilmu) atau memenuhi keperluan asas mereka. Begitulah keindahan Islam, Islam bukan sahaja agama ataupun sistem kehidupan yang dikhususkan untuk bidang-bidang tertentu,tetapi kesyumulannya membuatkan Islam relevan untuk menyelesaikan permasalahan yang bersifat multidimensi termasuk dalam bidang pendidikan.

University Al-Azhar,Kaherah masih menjalankan pendidikan percuma daripada hasil wang infaq (wang yang didermakan/dikumpulkan)

Namun, pada ini hari ini, yang banyak mempelopori & menjuarai sistem pendidikan percuma dan terbaik adalah orang-orang barat.Walhal, peristiwa-peristiwa & hadith tersebut telah awal lagi membuktikan bahawa pendidikan percuma ini dimulakan oleh orang Islam.Malangnya pada hari ini,orang Islam yang mengaku mengamalkan ajaran Islam sendiri lebih mengangkat sistem kapitalis daripada sistem Islam yang indah & syumul.

Pendidikan percuma tidak sempurna tanpa reformasi pendidikan.

Dalam keadaan sistem pendidikan sekarang yang terlalu rigid mengikut sistem & polisi, ruang inovasi & penambahbaikan yang terhad serta matlamat-matlamat materialistik & individualistik,penulis berasa tidak berbaloi jika pendidikan percuma dijalankan tanpa ada langkah penambahbaikan terhadap pendidikan negara yang menghasilkan pulangan yang berbaloi.Ya,manakan tidak, jika kerajaan telah membelanjakan bilion ringgit untuk pendidikan percuma,tetapi hasilnya seperti ‘sampah’ & tiada nilai pengembalian, itu adalah lebih sia-sia dan membazir wang rakyat.Penulis lebih suka mempakejkan pendidikan percuma dan ‘educational reform’ ini dalam satu pakej.Dalam masa kita memberi pendidikan percuma,kita jangan lupa menambahbaik sistem pendidikan negara.Antaranya termasuk mentauhidkan semula sistem pendidikan yang sekular supaya matlamat pendidikan bukan semata-mata untuk memenuhi kepentingan materialistik & individualistik seperti cita-cita mendapatkan pangkat tinggi, gaji tinggi, berkereta besar & sebagainya.Sebaliknya pendidikan perlu dilihat sebagai satu amanah & tanggungjawab,oleh mahasiswa supaya akhir matlamat pendidikan ini, ilmu yang dituntut perlu dkembalikan semula kepada rakyat, golongan yang menanggung kos pengajian kita sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT.Kementerian juga perlu mengubah semula dasar daripada melahirkan graduan pekerja yang sekadar memenuhi pasaran pekerjaan kepada melahirkan graduan sarjana, intelektual, pemikir, dan graduan yang memberikan idea & inovasi baru kepada pembangunan negara.Ini perlu dilakukan dengan mengubah segala sistem rigid di dalam universiti dan sekolah serta memansuhkan peraturan-peratuan yang menyekat kebebasan berfikir, berkreativiti, aktivisme & inovasi mahasiswa dan pensyarah.Ini pandangan penulis secara umum,mungkin boleh diperincikan lagi tentang bagaimana hendak mereformasi sistem pendidikan negara pada masa akan datang.

Pendidikan percuma adalah hak rakyat,tanggungjawab kerajaan.


Mungkin ada yang tertanya,jika PTPTN dimansuhkan,bagaimana mahasiswa ingin menyara hidup mereka sendiri seperti kos makan, pakaian, keperluan harian dan lain-lain? Ya, memang mustahil untuk kerajaan menanggung kos sara hidup tersebut semasa belajar,namun dalam hal ini,tajuk kita adalah pada yuran pengajian.Wang PTPTN masih relevan jika dipinjam untuk kos sara hidup, andainya kerajaan tidak mampu mennampung kesemuanya.Tetapi adalah tidak sepatutnya dipinjam/digunakan untuk membayar yuran pengajian kerana itu sudah berada di bawah tanggungjawab kerajaan.Namun perlu diingat, andai PTPTN berfungsi untuk memberi bantuan kos sara hidup kepada mahasiswa.Segala bentuk riba & penindasan perlu dihapuskan serta merta.Penulis ingin menyeru rakan-rakan mahasiswa sekalian, agar bangkit untuk memperjuangkan isu pendidikan percuma ini.Ini adalah hak yang perlu dituntut & ini adalah tanggungjawab kerajaan tidak kira Pakatan Rakyat ataupun Barisan Nasional selagi mana mereka bergelar kerajaan.Jika ingin bicara tentang perkara ini biarlah pandangan & pemikiran kita berdasarkan apa yang telah Islam ajarkan (bagi orang Muslim),bukan semata-mata mengikut & menyokong pandangan parti pembangkang mahupun kerajaan tanpa menyelediki terlebih dahulu baik dan buruknya.Mahasiswa sepatutnya sedar akan kepentingan pendidikan percuma ini.Isu ini masih relevan sepanjang masa kerana asas bagi ketamadunan & pembangunan sesebuah negara apabila rakyatnya celik, cukup pendidikan & mempunyai minda kelas pertama.Soal mampu atau tidak, rugi ataupun tidak berbaloi, mari kita lihat statistik yang dikeluarkan oleh Global Financial Integrity (2011),sepanjang 10 tahun bermula tahun 2000-2010, Malaysia telah mengalami “illicit financial outflow” (kehilangan wang negara) akibat korupsi,rasuah,ketirisan & wang haram sebanyak RM 1.077 trillion.Tahun 2010 saja kita hilang hampir RM 208 billion,dan Malaysia berada di tangga ke-5,selepas China, Russia, Mexico, Saudi Arabia.Jika dilihat, daripada kelima-lima negara teratas ini, semua adalah negara-negara besar kecuali Malaysia.Namun,wang negara banyak dibazirkan & hilang setanding dgn negara besar terbabit.Soalnya,mengapa ini berlaku? Kalau kita dapat kurangkan korupsi ini,katakanlah paling kurang 10-25% ,kita boleh jimat RM 250 billion.Bukan setakat pendidikan percuma,kesihatan percuma juga boleh dijalankan.Kerajaan yang prihatin akan mencari jalan bagaimana cara yang terbaik untuk membantu & mengurangkan beban rakyat, bukannya kerap memberi alasan.Jika kerajaan berkata ini adalah beban mereka,sepatutnya mereka lebih memikirkan beban pelajar yang belum bekerja lagi,tetapi sudah dikelilingi hutang.

Mudah-mudahan bermanfaat,wallahu’alam bi asy syawab.


*Gerakan Mahasiswa Pantai Timur menyeru seluruh mahasiswa Pantai Timur supaya dapat bersolidariti bersama-sama dalam Perhimpunan menuntut Pendidikan Percuma di Dataran Merdeka esok (Jam 2.00 petang).
Oleh: Mohamad Hafizudin b. Mohd Nasarudin,

Setiausaha GEMPUR

Sebarang komen/kritikan, sila hantar ke mohamadhafizudin@yahoo.com.my

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Artikel

Krisis makanan & ekosistem dunia: Saatnya kembali kepada organik

Allah SWT berfirman, ”Dialah, yang telah menurunkan air hujan dari langit untuk kamu, sebahagiannya menjadi minuman dan sebahagiannya (menyuburkan) tumbuh-tumbuhan, yang pada (tempat tumbuhnya) kamu menggembalakan ternakmu. Dia menumbuhkan bagi kamu dengan air hujan itu tanam-tanaman; zaitun, korma, anggur dan segala macam buah-buahan. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar ada tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang memikirkan.” – [An-Nahl:10-11]

Hubungan manusia dengan makhluk lain.

Manusia, haiwan, tanah, air, udara, tumbuh-tumbuhan, matahari dan alam sekitar yg lain adalah makhluk yang dicipta oleh Allah SWT dan masing-masing daripadanya disiapkan dengan sifat-sifat, fungsi-fungsi tertentu.Dalam kehidupan seharian, kita memerlukan antara satu sama lain untuk meneruskan keberlangsungan hidup.Misalnya,manusia mengkehendaki haiwan untuk dijadikan sumber makanan, ubat-ubatan, dan keperluan hidup yang lain.Manusia juga memerlukan tanah sebagai tempat tinggal, tempat bercucuk tanam &  sebagai sumber galian.Tumbuh-tumbuhan juga dicipta oleh Allah SWT untuk membekalkan bekalan oksigen kepada manusia untuk bernafas, sumber makanan & mengawal suhu global.Manusia juga memerlukan udara untuk bernafas,begitu juga dengan air,sebagai sumber minuman untuk mengawal suhu badan dan mengawal metabolisma.Tidak ketinggalan,matahari juga penting dalam kehidupan manusia sebagai sumber tenaga.Boleh dikatakan,diantara semua makhluk Allah SWT yang disebutkan di atas ini semuanya terikat dan berfungsi di dalam satu rantaian yang saling memerlukan antara satu sama lain.

Namun,sebagai manusia,setelah kita diberikan nikmat oleh Allah SWT untuk meneruskan kelangsungan hidup daripada sumbangan makhluk-makhluk itu tadi,apakah pula sumbangan kita kepada makhluk-makhluk yang lain sebagai balasan kepada manfaat yang telah diperolehi? Adakah setelah kita mendapatkan manfaat daripada haiwan, tanah, air, udara, tumbuh-tumbuhan & matahari tadi,kita telah membalas ‘jasa’ mereka dengan perbuatan yang sama? Sebelum kehadiran anak Adam a.s di muka bumi ini,segala makhluk yang disebutkan tadi berfungsi dengan lestari dan subur mengikut ekosistem dan ekologi yang telah diaturkan oleh Allah SWT.Namun,setelah manusia ditakdirkan Allah SWT untuk mendiami bumi ini daripada mulanya kehidupan Nabi Adam a.s dan isterinya Siti Hawa sehingga ke generasi sekarang, ekosistem dan ekologi bumi tadi semakin lama semakin tunggang langgang dan semakin lari daripada aturannya.Masakan tidak,apabila manusia mula hidup di muka bumi ini,mereka menggunakan segala sumber asli ini bagi menampung keperluan hidup misalnya dengan menggunakan tanah sebagai tempat bercucuk tanam untuk menghasilkan sumber makanan.Namun manusia membalas jasa tanah tersebut dengan memberikan racun kimia,baja kimia dan sisa-sisa berbahaya yang merosakkan organisma kecil (biota) dan juga bahagian-bahagian penting di dalam tanah tersebut.’Jasa’ udara memberikan oksigen kepada kita untuk bernafas,dibalas pula dengan pelepasan gas-gas dan bahan beracun seperti sulfur dioksida, karbon dioksida & monoksida, CFC dan gas-gas beracun selainnya.Apabila tumbuh-tumbuhan memberikan manfaat dan makanan kepada kita,kita balas pula jasa mereka dengan memberi racun (baja kimia), menebang dan menggondol mereka.Selain itu,adakah dengan membuang sisa-sisa kimia, racun dan bahan-bahan yang memudaratkan ke dalam air adalah salah satu cara yang terbaik untuk kita balas jasa mereka? Adakah ini cara kita membayar sumbangan yang telah diberikan oleh makhluk tersebut? Sememangnya,kita tidak akan mengerti dengan penderitaan makhluk Allah SWT ini kerana kita tidak akan pernah mendengar rintihan & luahan mereka.Andai mereka mampu berkata-kata,sudah tentunya hidupan & organisma di dalam tanah akan menjerit dan memarahi kita kerana tidak tahu membalas budi mereka.Sudah diberikan madu,namun dibalas dengan racun.Namun kita perlu ingat,bahawa semua makhluk itu walaupun ada di antaranya bernyawa (biota) dan tidak bernyawa (abiota),mereka adalah makhluk Allah SWT dan mereka sentiasa hidup bertasbih memuji Allah SWT.Ini dibuktikan dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Israa’ ayat , “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memujiNya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun”.

Rosaknya bumi akibat perbuatan manusia

Perbuatan rakus kita terhadap makhluk-makhluk lain ini telah mengundang mudarat,keburukan dan malapetaka yang tidak mampu kita duga.Bencana seperti banjir, tsunami, pencairan ais di kutub, ribut, tanah runtuh dan sebagainya,secara fizikalnya adalah berpunca daripada tangan-tangan manusia sendiri.Firman Allah SWT dalam surah ar-Rum ayat 41, “Telah zahir kerosakan di darat dan di laut dengan sebab perbuatan tangan-tangan manusia, yang akhirnya Allah rasakan kepada mereka sebahagian (akibat) yang mereka kerjakan, semoga mereka kembali (ke jalan yang benar).” Sememangnya perlakuan maksiat, merosakkan ekosistem bumi, tidak menguruskan bumi dengan lestari dan melakukan perkara yang dimurkai Allah SWT,pastinya akan mendapat kesan yang buruk daripada perbuatan itu tadi.Kita ambil contoh dalam sektor pertanian.Pertanian konvensional kini majoritinya menggunakan kaedah pembajaan kimia dan racun kimia bagi menghasilkan produk yang berkualiti & terhindar daripada haiwan perosak.Sekaligus menjimatkan kos dan menghasilkan keluaran yang banyak.Namun perlu diketahui,dalam tidak kita sedari kesan sampingan yang buruk juga boleh terjadi kepada ekosistem bumi.Racun dan bahan kimia tersebut boleh membunuh populasi biota di dalam tanah lalu membuatkan tanah terbabit hilang fungsinya dalam menampung hidupan samada organisma,haiwan mahupun tumbuh-tumbuhan,boleh mendap, larut dan deposit ke dalam air dan juga boleh menyumbang ke arah pemanasan global akibat daripada pengumpulan gas-gas beracun daripada tersejatnya air ke udara.Bukan sahaja itu,kesan buruk juga boleh terjadi kepada manusia.Kandungan kimia dan racun yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar,mampu terkumpul di dalam badan lalu menjadi toksin yang boleh membawa kepada penyakit kanser, gout, kencing manis, diabetis dan macam-macam lagi.

Bertani satu ibadah, satu metode menangani krisis makanan dunia

“Tiada seorang muslim menanam dan bertani maka hasil pertaniannya itu dimakan oleh manusia, binatang dan sebagainya melainkan dia akan menerima ganjaran pahala sedekah” (Hadis riwayat Bukhari) Bertani ataupun menanam pokok bagi menampung keperluan makanan manusia bukan sahaja penting kepada ekonomi dan bekalan sumber makanan sejagat bahkan amalan ini boleh mendatangkan pahala jika difahami konsepnya.Ibaratkan seorang petani yang menanam sebuah pokok rambutan.Setelah besar pokok terbabit dan menghasilkan buah,apabila ia dimakan,bukan sahaja oleh manusia,tetapi juga haiwan yang lain,ia akan mendatangkan pahala kepada petani tersebut kerana menyediakan bekalan makanan kepada makhluk Allah yang lain.Dalam kategori ini,buah ataupun hasil daripada pokok terbabit adalah sedekah.Bagaimana pula dengan petani yang menanam pokok padi misalnya,sehinga berpuluh hektar? Sudah tentunya berlipat kali ganda ganjaran pahalanya.Namun,adakah amalan pertanian masa kini,yang menggunakan pembajaan kimia dan racun kimia boleh dikategorikan sebagai sebahagian amalan “Bertani Satu Ibadah”? Kaedah tersebut sudah tentunya mendatangkan mudarat bukan sahaja kepada kesihatan manusia,tetapi juga kepada populasi dan survival makhluk Allah SWT yang lain seperti biota di dalam tanah, haiwan-haiwan yang memakan tumbuhan berkimia tersebut, air, udara dan juga iklim dunia.Justeru, ibadah jenis apa yang kita lakukan sampai boleh mendatangkan mudarat? Mungkin kita perlu menilai semula kaedah ini.

Maka, bagi menjawab persoalan tersebut, tanaman secara organik adalah penyelesaian yang terbaik bagi kehidupan manusia masa kini.Tanaman organik bukan sahaja memberikan kesan yang baik terhadap kesihatan manusia,malahan ia juga membantu memulihara semula ekosistem bumi daripada kerosakan.

Kajian juga telah membuktikan bahawa pertanian secara organik mampu mengeluarkan hasil yang banyak berbanding pertanian konvensional.Di kawasan penanaman padi organik,Tunjung, Kelantan misalnya,melalui kaedah penanaman organik SRI (System of Rice Intensification) satu hektar padi sudah mampu menghasilkan 10 – 11 tan berbanding purata pengeluaran padi konvensional yang sekitar 3 – 4 tan.Malahan,tinggi pokok padi organik di kawasan terbabit pernah mencatatkan rekod ketinggian yang luar biasa iaitu sekitar 5-6 kaki.Jumlah pengeluaran ini agak berbaloi bagi menampung keperluan makanan negara walaupun ia memerlukan tenaga kerja yang tinggi.

Produk & tanaman organik adalah tanggungjawab

Produk organik maksud di sini adalah mesra alam.Produk yang dihasilkan daripada kaedah ‘alamiah’ ataupun semulajadi tanpa penambahan bahan yang memudaratkan.Kurang kesedaran terhadap memilih makanan organik menyebabkan produk ini mendapat kurang tempat di hati masyarakat dan penghasilannya juga kurang berbanding produk konvensional.Namun,produk organik seperti beras, ayam, telur dan sebagainya  semakin bercambah di pasaran tempatan.Walaupun harganya agak mahal berbanding produk biasa,namun nilainya agak berpatutan jika kita fikirkan kesan positifnya kepada kesihatan, alam sekitar dan juga mampu mendatangkan pahala.Sebagai pengguna,kita seharusnya menyokong penghasilan produk organik ini.Amalan memakan makanan organik harus dipupuk supaya ia menjadi satu lagi langkah ke arah memulihara dan memelihara bumi Allah SWT ini.FirmanNya dalam surah Al-An’am ayat 165,“Dan Dialah (Allah) yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan ia mengangkat darjat-darjat sebahagian kamu ke atas sebahagian yang lain, untuk menguji kamu tentang apa yang telah dia berikan kepada kamu, sesungguhnya Tuhanmu itu amat cepat seksaanNya, dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” Menjadi khalifah di sini,bukan hanya bertanggungjawab untuk menguruskan manusia sahaja,tetapi juga kita bertanggungjawab menguruskan segala makhluk yang ada di muka bumi ini supaya dapat hidup dengan lestari.Maka memilih organik merupakan salah satu tanggungjawab manusia bagi menjaga kestabilan bumi sejagat.

Kita seharusnya menyedari akan kepentingan amalan berorganik ini.Di peringkat keluarga dan masyarakat,mereka perlu menilai semula pemilihan produk makanan daripada yang mempunyai kandungan kimia tinggi kepada produk yang organik.Di peringkat kerajaan pula,satu kempen untuk memupuk rakyat mengamalkan amalan pemakanan organik perlu dijalankan.Di samping itu juga kerajaan perlu mengurangkan kebergantungan terhadap penggunaan baja kimia sebagai pemberian baja subsidi kepada para petani.Syarikat-syarikat yang pembekal baja kimia juga perlu mengubah kandungan produk mereka agar lebih berorganik.

Kesimpulannya,dengan mengamalkan penggunaan produk organik dan tanaman organik,bukan sahaja dapat meningkatkan kesihatan,namun ia juga dapat merapatkan hubungan manusia dengan alam dan Tuhan.

Wallahu’alam bi asy syawab

Oleh: Mohamad Hafizudin b. Mohd Nasarudin (Setiausaha GEMPUR)

By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Artikel

GEMPUR serah memorandum tuntut YT tarik balik pembatalan pinjaman

Bermula di Yayasan Terengganu, pada 1 April 2012 (Ahad), Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (GEMPUR) bersolidariti bersama wakil Mahasiswa Yayasan Terengganu menghantar memorandum mengenai isu 9 mahasiswa Terengganu di Mesir yang ditamatkan pinjaman Yayasan Terengganu ekoran daripada perhimpunan BERSIH yang mereka sertai. Kesembilan mahasiswa tersebut ditamatkan pinjaman mereka setelah didapati bersalah menyertai demonstrasi di Mesir. Penyerahan memorandum tersebut adalah bertepatan dengan konsep demokratik negara ini. GEMPUR cuba untuk berdiplomasi sambil mendesak pihak Yayasan Terengganu membatalkan semula keputusan yang telah dibuat sebelum ini.

Pada jam 2 petang setelah menunaikan solat zohor di Surau MAIDAM yang berhampiran dengan Yayasan Terengganu, wakil GEMPUR seramai 16 orang bergerak ke Yayasan Terengganu untuk menyempurnakan penyerahan memorandum. Wakil GEMPUR memasuki perkarangan Yayasan Terengganu pada jam 2.30 petang yang diketuai oleh Presiden GEMPUR sendiri, saudara Muhamad Syahmi Hazim bin Mohd Ithnin. Yayasan Terengganu yang diwakili oleh Timbalan Pengarah (Pendidikan), Mohd Razali Mahmud menerima baik kunjungan GEMPUR dan menerima memorandum tersebut dengan penuh keterbukaan. Presiden GEMPUR menjelaskan kepada wakil Yayasan Terengganu pendirian GEMPUR dalam isu ini dan tuntutan – tuntutan yang GEMPUR gariskan di dalam memorandum tersebut. GEMPUR melihat tindakan Yayasan Terengganu sebagai tidak profesional dan seolah-olah melibatkan sentimen politik sempit yang mana sepatutnya mahasiswa dalam negara atau luar negara (juga sebagai rakyat) mempunyai hak untuk berhimpun berdasarkan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang juga diiktiraf sebagai undang-undang tertinggi negara. Berikutan tuntutan-tuntutan yang dikemukakan, GEMPUR memberi tempoh selama seminggu untuk pihak Yayasan Terengganu menarik balik keputusan tersebut.

Delegasi GEMPUR dan wakil-wakil Mahasiswa Yayasan Terengganu terus bergerak ke Wisma Darul Iman yang berdekatan untuk penghantaran memorandum kepada Kerajaan Negeri Terengganu pada kira-kira jam 3.15 petang. Di Wisma Darul Iman, pihak keselamatan wisma hanya membenarkan 3 orang wakil mahasiswa untuk masuk bagi menyempurnakan penyerahan memorandum tersebut. Tiga mahasiswa tersebut ialah Presiden GEMPUR sendiri, Muhamad Syahmi Hazim bin Mohd Ithnin, Lajnah Aksi GEMPUR, Mohd Azraai dan wakil Mahasiswa Yayasan Terengganu, Syed Mohamad. Penyerahan memorandum tersebut diserahkan kepada Penasihat Agama kepada Menteri Besar Terengganu setelah tuntutan GEMPUR tidak dilayan iaitu ingin menyampaikan memorandum tersebut sendiri kepada Menteri Besar Terengganu ataupun Exco Pelajaran dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu. GEMPUR akur dan cuba untuk berdiplomasi secara bersopan dan menunjukkan kematangan mahasiswa. Malangnya, respon daripada Penasihat Agama tersebut yang telah membuka ruang-ruang sentimen rasis perkauman dan agama amat mengecewakan, juga sikap tidak berakhlak dan tidak langsung menyantuni wakil mahasiswa yang cuba menggunakan jalan diplomasi sebagai mencari solusi mengenai isu ini. Walaupun memorandum berjaya diserahkan kepada Wisma Darul Iman, tetapi sikap Penasihat Agama yang boleh dikatakan tidak berakhlak dan tidak menyantuni wakil mahasiswa sehingga mengeluarkan kata-kata yang tidak melambangkan peribadi seorang penasihat agama negeri sangat mengecewakan wakil mahasiswa yang menyerahkan memorandum tersebut. Ia seperti tindakan tidak matang dan bersifat kebudak-budakan. Sedangkan Rasulullah s.a.w  sendiri amat menyantuni seorang Yahudi yang datang meminta hutang dengan cara yang amat kasar, tetapi Baginda Rasulullah bahkan melarang sahabatnya Saidina Umar supaya tidak memarahi semula Yahudi tersebut. Tidakkah Penasihat Agama tersebut memahami ibrah dari sirah Rasulullah s.a.w tersebut?

Penyerahan memorandum ini berakhir kira-kira pada jam 4 petang. Di pihak GEMPUR, kami berharap agar memorandum yang dihantar tidak dipandang enteng oleh Yayasan Terengganu dan Wisma Darul Iman sendiri. Ini adalah suara kami selaku mahasiswa yang mengambil cakna isu-isu dalam negara, bukan kerana ada politik sempit yang mengiringi. Kami mahasiswa tidak punya kepentingan politik sempit dan tidak diperkudakan oleh mana-mana pihak seperti khabar-khabar angin yang mendakwa. Pendirian kami sebagai mahasiswa adalah jelas dan terang bahawa kami membantah tindakan Yayasan Terengganu sebagai melihat Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara.

Laporan oleh: Unit Aksi dan Propaganda GEMPUR

GEMPUR hantar memorandum bagi menuntut penyambungan pinjaman pelajar YT

KUALA LUMPUR, 31 Mac: Gerakan Mahasiswa Pantai Timur (Gempur) akan menghantar memorandum menuntut penyambungan semula pinjaman pengajian 9 mahasiswa Terengganu di Mesir, esok.

“Gempur yang menaungi front-front mahasiswa di peringkat Pantai Timur merasa terpanggil untuk menjawab isu itu dan bersolidariti untuk membela rakan-rakan kami yang berasal dari Terengganu daripada dinafikan hak mereka,” kata Gempur dalam satu kenyatan hari ini.

Menurut kenyataan itu, tindakan kerajaan Tetengganu menghentikan pinjaman itu dilihat sebagai tindakan  yang tertutup dan tidak profesional kerana seolah-olah melibatkan sentimen politik yang mana sepatutnya mahasiswa mempunyai hak untuk berhimpun sebagaimana yang telah termaktub dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Sepatutnya kerajaan negeri Terengganu melihat himpunan ini sebagai salah satu hak warganegara Malaysia untuk menuntut Pilihanraya yang adil, bebas dan telus serta menuntut Auku 1971 yang mengongkong kebebasan akademik, kebebasan aktivisme mahasiswa dan menamatkan autonomi universiti dimansuhkan,” tambah kenyataan itu.

Justeru, Menteri Besar Terengganu tidak sepatutnya mencampur aduk kepentingan politik sempit dalam menilai hak yang dimiliki mahasiswa.

Bagi Gempur, adalah tidak wajar untuk mahasiswa yang terbabit dihukum hanya kerana pendirian kerajaan negeri yang tidak bersetuju dengan himpunan Bersih.

Menurut Gempur lagi, kerajaan negeri sepatutnya menilai baik dan buruk keputusan menghentikan pinjman itu ekoran kesempitan kewangan yang bakal dilalui oleh 9 pelajar tersebut tambahan pula kos perbelanjaan makanan, tempat tinggal dan lain-lain adalah tinggi di negara luar khususnya di Mesir.

-Sumber Harakahdaily.net  (31/3/12)
By Gerakan Mahasiswa Pantai Timur Posted in Aktiviti